SLAPPY Cakes sesuai untuk aktiviti makan bersama keluarga dan rakan.
SLAPPY Cakes sesuai untuk aktiviti makan bersama keluarga dan rakan.
CHRISTINA (kiri) bersama Pengarah Eksekutif, Grace Hi menunjukkan menu kombo dan hidangan sarapan Slappy Cakes.
CHRISTINA (kiri) bersama Pengarah Eksekutif, Grace Hi menunjukkan menu kombo dan hidangan sarapan Slappy Cakes.
Intan Mas Ayu Shahimi


Sesekali keluar bersama keluarga pada hujung minggu, pasti bosan sekiranya mengunjungi restoran yang sama. Bagi yang mempunyai anak kecil, sudah semestinya senarai pilihan restoran pula agak terhad berbanding duduk makan berdua.

Tidak kira suasana, kerusi, meja, menu, persekitaran mahupun ruang, segalanya perlu dipertimbangkan sebelum membawa masuk anak kecil ke restoran pilihan. Andai tersilap percaturan, tidak mustahil pinggan dan cawan bertebaran lantaran dijadikan bahan permainan.

Apa kata bawa keluarga menjamu selera di Slappy Cakes, Sunway Pyramid. Restoran ini bukan sekadar menepati kehendak ibu bapa yang memiliki anak kecil, tetapi turut mempunyai senarai menu menarik, sesuai untuk semua peringkat umur.

Berada di tengah antara Taman Keluarga London Street atau The Parenthood dan butik Padini, Slappy Cakes menawarkan pengalaman makan bersama keluarga dan rakan yang cukup menyeronokkan menerusi konsep masak sendiri (DIY).

Untuk mereka yang pertama kali melangkah masuk ke restoran bersama anak, pasti teruja melihat meja Slappy Cakes yang dilengkapi kuali ceper pasang siap. Pilih saja menu DIY Pancakes bersama hiasan dan sos, kemudian lihat betapa lebarnya senyuman si manja.

Mempunyai empat pilihan adunan penkek iaitu mentega susu, mentega kacang, pandan dan coklat, menu ini menggalakkan pengunjung restoran, khususnya anak kecil berkarya di atas kuali ceper.

Sebaik adunan dimasak, anak boleh menghias penkek mengikut cita rasa sendiri, sama ada dengan hirisan cendawan panggang, sosej ayam, bakon rangup dan keju atau pilihan kekacang serta buah beri.

Pengarah Slappy Cakes Malaysia Sdn Bhd Christina De Castro berkata, restoran berkenaan menawarkan pelbagai menu bermula hidangan sarapan, makan tengah hari, sajian panggang dan stik, pasta, hinggalah ke pencuci mulut.

“Tarikan utama di sini adalah konsep penkek DIY, sajian kombo (panggang dan stik untuk empat orang) dan pasta. Kami menyediakan kuali ceper yang selamat untuk kanak-kanak dan semestinya orang dewasa.

“Mereka boleh berkarya sambil makan sepuasnya pada harga yang sangat berpatutan. Setiap sajian yang disediakan di sini juga dibuat dari awal, setiap hari. Malah, kami komited untuk menyediakan yang terbaik kepada semua pelanggan yang memilih Slappy Cakes,” katanya.

Bagi yang memesan hidangan kombo, sajian ini termasuk lamb chop, ikan crumble, chicken chop panggang, jejari kentang goreng, salad, penkek dan sosej ayam. Ia sesuai untuk santapan tiga hingga empat orang dewasa pada harga RM68.

Hidangan pasta­nya juga menyelerakan. Potongan salmon dan ayamnya menggamit selesa sesiapa saja. Elok anak ‘bermain’ sambil makan, ibu bapa juga mempunyai ruang masa untuk menikmati keenakan sajian yang dipesan.

“Kami buka seawal jam 8.30 pagi dengan pilihan menu sarapan pada harga serendah RM12. Bagi yang berminat untuk mengadakan majlis hari lahir atau jamuan makan, kami juga sedia menerima tempahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:03 AM