Syarikatnya MK Label terkena tempias. FOTO HM/FB
Syarikatnya MK Label terkena tempias. FOTO HM/FB
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemain gitar popular Man Kidal kesal apabila syarikatnya MK Label sekali lagi menjadi sasaran fitnah segelintir pihak yang mahu menjatuhkannya.

Sebelum ini MK Label pernah didakwa terbabit dengan skim pengubahan wang haram sehingga memaksa beliau tampil mengadakan sidang media bagi membuat penafian.

Menjelaskan perkara itu, Man berkata, syarikat induk iaitu Global Tijari Holdings Berhad (GTHB) mengalami masalah berikutan senario ekonomi yang kurang memberangsangkan.

"Bagaimanapun operasi MK Label masih berjalan lancar tanpa masalah. Hanya GTHB berdepan masalah akibat tiada pembayaran dibuat oleh ejen penjualan kepada syarikat selepas tamat syarat dan terma yang dipersetujui sebelum ini.

"Kesannya MK Label turut terkena tempias apabila dituduh menipu rakan perniagaan sedangkan kami tiada kena mengena langsung dalam isu ini," katanya.

Menurutnya, dia kecewa apabila segelintir rakan perniagaan yang tidak memahami syarat dan terma di dalam kontrak meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap MK Label.

"Saya tak marah dengan tuduhan ini tapi agak terkejut dengan apa yang berlaku, sedangkan MK Label sudah mencapai sasaran yang diletakkan.

"Bagi saya isu ini memang lumrah dalam perniagaan tapi saya kena betulkan keadaan supaya orang ramai tak salah anggap. Tuduhan ini sudah tersebar di laman sosial dan saya kena cepat betulkan keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 8:07 PM