MAN Kidal tetap tampil pertahankan diri terhadap tuduhan liar ke atas syarikatnya.
MAN Kidal tetap tampil pertahankan diri terhadap tuduhan liar ke atas syarikatnya.

Syarikat Man Kidal Label (MK Label) baru berusia setahun jagung tetapi pemiliknya yang juga pemain gitar terkenal Abdul Rahman Mahmood atau Man Kidal, 54, sudah berdepan pelbagai ujian.

Sebelum ini, MK Label dituduh terbabit dengan skim penggubahan wang haram sehingga memaksa Man Kidal tampil mengadakan sidang media bagi membuat penafian.

Baru-baru ini, MK Label sekali lagi dituduh menipu rakan perniagaan sedangkan mereka tiada kena-mengena dengan isu yang disabitkan.

Situasi ini ibarat orang lain makan nangka, orang lain yang kena getahnya. Bahkan lebih parah lagi apabila beberapa individu tampil membuat laporan polis mendakwa ditipu Man Kidal.

Ikuti temu bual wartawan RAP, Ridzuan Abdul Rahman ([email protected]) dengan Man Kidal bagi merungkai cerita sebenar yang berlaku.

RAP: Adakah dakwaan yang dibuat itu betul berlaku?

MAN KIDAL: Saya sebenarnya tak sangka mereka buat begini. Kenyataan yang dibuat itu tak betul dan bersifat fitnah semata-mata.

RAP: Bagaimana mereka berani buat kenyataan begini?

MAN KIDAL: Mungkin mereka peserta yang terbabit dengan program anjuran ejen jualan tapi tak terbabit secara langsung dan tiada perjanjian dengan MK Label.

Kemungkinan besar mereka bernaung di bawah syarikat induk iaitu Global Tijari Holdings Berhad (GTHB).

Ingin dijelaskan yang saya tak pernah ambil duit dengan mana-mana pihak dan tak pernah buat kontrak begini. Saya pelik dengan kenyataan mereka dan tertanya-tanya apa tujuannya berbuat demikian.

RAP: Terkejut tak apabila mereka buat laporan polis dan keluarkan kenyataan di kaca TV?

MAN KIDAL: Mereka nak jumpa sesiapa pun pada saya bukan masalah besar. Tapi kalau betul apa yang dikatakan, kenapa tak tunjuk perjanjian yang konon dibuat oleh saya?

Saya tak pernah berjanji dengan mana-mana pihak. Lainlah kalau betul saya berjanji dan dalam perjanjian ada disebut mengenai MK Label, mereka ada hak untuk hentam saya. Ini memang satu perkara yang tak elok.

RAP: Adakah nama Man Kidal akan terjejas nanti?

MAN KIDAL: Selama 35 tahun berada dalam industri muzik, belum pernah terdengar cerita tak elok mengenai saya. Tak pernah ada cerita yang saya menipu orang.

Bagaimanapun, saya akan bertindak mengikut undang-undang. Saya akan usulkan kepada peguam untuk ambil tindakan lanjut terhadap mereka yang buat tuduhan ini.

Saya orang berniaga dan tuduhan ini memang beri kesan pada MK Label.

RAP: Sebenarnya bagaimana bentuk perniagaan yang diuruskan oleh MK Label?

MAN KIDAL: Mereka yang berurus niaga dengan saya pasti tahu yang saya hanya menjual beli produk dan bukannya ambil wang pelaburan.

Apa yang berlaku adalah fitnah untuk menjatuhkan MK Label. Baru setahun beroperasi tapi kami difitnah begini.

Saya takkan jadi lemah dengan apa yang berlaku tapi sedih dengan sikap orang Melayu. Saya tak kisah kalau nak buat laporan polis tapi biarlah dengan bukti.

Apa yang dilakukan mereka akan buat orang keliru. Saya hanya berurusan dengan GTHB dan bukan individu.

Saya tak nak menuduh sesiapa kerana tak mahu huru-harakan keadaan. Kalau betul ada masalah dengan saya, baiklah datang berjumpa.

Saya bukan lari ke mana-mana dan sentiasa ada di pejabat untuk berbincang dan mungkin perkara ini boleh diselesaikan.

RAP: Agaknya kehidupan Man Kidal yang mewah sekarang menjadi penyebab isu ini timbul?

MAN KIDAL: Sudah lebih 35 tahun saya bergelumang dalam industri muzik dan kini sudah berusia lebih 50 tahun, jadi semestinya saya mampu hidup senang. Nak kata mewah itu tidaklah.

Jika ada yang kata saya guna wang daripada orang ramai untuk hidup mewah, itu adalah tanggapan liar semata-mata.

Orang yang kenal saya takkan fikir saya sampai begitu. Setakat ini saya tak pernah lagi tipu sesiapa. Saya bukan nak selindungkan kesalahan.

Perniagaan MK Label tengah bagus sekarang, jadi ada pihak yang nak menjatuhkan kami. Saya memang tak kisah dan sekali lagi sedih dengan sikap orang kita.

Mana ada pemuzik yang berniaga macam saya. Dalam tempoh setahun perniagaan berkembang bagus jadi akhirnya ada pihak yang iri hati.

Tak kira apa berlaku, saya akan tampil mempertahankan diri. Diharapkan mereka yang berurusan dengan saya tidak ragu-ragu dan jangan termakan hasutan orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 5:03 AM