Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tiga pertuduhan rasuah berhubung projek di JAKOA berjumlah RM74,600 tujuh tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tiga pertuduhan rasuah berhubung projek di JAKOA berjumlah RM74,600 tujuh tahun lalu.
Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tiga pertuduhan rasuah berhubung projek di JAKOA berjumlah RM74,600 tujuh tahun lalu.

Hakim Alaudeen Ismail memutuskan demikian terhadap Nisra Nisran Angit, 42, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM34,600 dari seorang ahli perniagaan iaitu Hamzah Sia melalui akaun bank pihak ketiga milik individu lain Yusoff Othman yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat milik dan dalam kawalan Hamzah ada hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Cawangan Ampang Park, Lot 1.01, Ampang Park Shopping Centre, Jalan Ampang pada 6 Julai 2010.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga dia didakwa mendapat untuk dirinya wang kesemuanya masing-masing RM20,000 juga daripada Hamzah melalui akaun bank Yusoff, yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat milik dan dalam kawalan Hamzah ada hubungan dengan kerja rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Public Mutual Berhad, Blok B, Sri Damansara Business Park, Persiaran Industri, Bandar Sri Damansara pada 6 Disember 2010 dan 17 Disember 2010.

Bagi kesemua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Foto Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:35 AM