Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Juruteknik penghawa dingin dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dan memiliki bahan berkaitan Daish, antara Jun dan Ogos lalu.

Ahmad Faris Zulkefli, 20, hanya menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas melalui aplikasi Wechat atas nama Pak Kodi dan atas nama Wechat ID mujahidin333. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah di Kelumpuk Teratai 16, Jalan 5/56, AU3 Keramat, 9 Jun lalu hingga 30 Julai lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki satu baju hitam bertulisan jawi dan gambar dalam tablet jenis Ipad Mini yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daish di tempat yang sama pada jam 10.45 pagi, 29 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 2:12 PM