FIFTH Harmony bakal menggegarkan Kuala Lumpur.
FIFTH Harmony bakal menggegarkan Kuala Lumpur.
Georgie Joseph


Tahun lalu, peminat dikejutkan dengan berita pengunduran anggota Fifth Harmony iaitu Camila Cabello. Lebih hangat apabila perkara itu dikatakan berpunca daripada kelemahan pihak pengurusan.

Ketiadaan Camila bagaimanapun tidak melumpuhkan semangat Lauren Jauregui, Ally Brooke, Normani Hamilton dan Dinah Jane untuk meneruskan perjuangan kumpulan itu.

Sejak mencipta nama pada 2012, Fifth Harmony yang kini hit dengan lagu That’s My Girl berjaya mengembalikan era kegemilangan kumpulan wanita. Aura dan bakat mereka berjaya menakluk penggembar muzik seluruh dunia.

Begitu juga dengan himpunan lagu mereka yang tidak pernah mengecewakan dan sering mengungguli carta besar radio.

Jika diteliti, kekuatan Fifth Harmony terletak pada material yang relevan dengan selera pendengar khususnya generasi muda. Boleh dikatakan setiap lagu membawa aura berbeza tetapi kekal bertenaga dan segar.

Pencapaian luar biasa Fifth Harmony sekali gus mengimbau kembali kejayaan kumpulan wanita legenda Spice Girls pada era 90-an dan awal 2000. Mereka adalah penyambung legasi kumpulan hebat itu.

Menarik mengenai kumpulan ini, mereka digabungkan sewaktu menghadiri uji bakat program realiti The X-Factor Amerika Syarikat (AS) musim kedua pada 2012. Dalam pertandingan itu, kumpulan terbabit berjaya mara sebagai tiga terbaik sebelum bernaung di bawah label label Epic Records.

Tampil dengan single pertama berjudul Miss Movin’ On, mereka terus melakar kejayaan menerusi lagu hit termasuk Sledgehammer, Worth It dan Work From Home.

Kemunculan mereka semakin mendapat perhatian di pelbagai acara dan menjadi pujaan peminat seluruh dunia. Sejak itu kumpulan ini sering dilamar menjayakan konsert di pelbagai negara.

Bagaimanapun, kumpulan itu belum bersedia memenuhi permintaan itu pada awal kemunculan. Tahun ini mereka akhirnya bersetuju untuk mengelilingi dunia termasuk ke negara Asia.

Peminat negara ini juga pasti gembira apabila Fifth Harmony akan mengadakan konsert sulung di Surf Beach, Sunway Lagoon, Bandar Sunway pada 7 April nanti.

Tiket berharga RM350 (VIP), RM150 (Harmony) dan RM100 (Party) akan dijual menerusi laman web www.ticketpro.com.my bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 11:20 AM