BERNAMA

Jakarta: Semua pelajar Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan selamat selepas gempa bumi 5.6 pada skala Richter menggegarkan Medan di Sumatera Utara, malam tadi.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Amizal Fadzli Rajali ketika dihubungi berkata, gempa itu sememangnya dirasai kuat dan gegarannya berlaku dalam beberapa saat sahaja.

"Pihak berkuasa mengesahkan tiada kejadian buruk berlaku dan tiada bangunan rosak manakala para pelajar kita ketika dihubungi pula menyatakan mereka berada dalam keadaan tenang dan selamat," katanya.

Media dalam talian melaporkan orang ramai yang berada di pusat beli belah dan hotel bertingkat tinggi di Kota Medan panik dengan gegaran itu dan bertempiaran lari keluar dari bangunan.

Terdapat 1,100 orang pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti di Sumatera Utara.

Menurut laporan Badan Meteorlogi, Klimatologi dan Geofisika (BKMG) gempa itu berlaku dua kali pada kedalaman 10 kilometer dalam laut berdekatan Deliserdang di Sumatera Utara.

Gempa pertama berukuran 3.9 pada skala Richter berlaku pada 7.13 malam diikuti gempa kedua berukuran 5.6 pada skala Richter.

Gempa itu dirasakan di beberapa daerah termasuk Medan, Deliserdang, Binjai dan Karo serta beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 12:29 AM