London: Manchester United mensia-siakan peluang untuk terus memberi tekanan kepada Chelsea serta Manchester City yang menduduki dua tempat teratas Liga Perdana Inggeris apabila sekadar seri 0-0 ketika bertemu Tottenham Hotspur, malam tadi.

Skuad bimbingan Louis van Gaal memperoleh banyak peluang terbaik untuk menjaringkan gol termasuk cubaan Juan Matta yang terkena palang gol.

Pujian wajar diberikan kepada penjaga gol Spurs, Hugo Lloris yang cemerlang menyelamatkan pelbagai cubaan berbahaya untuk membolehkan kelabnya meraih satu mata berharga.

Keputusan itu menyaksikan United mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan.

Van Gaal meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain sama yang menewaskan Newcastle United 3-1 dan menyaksikan anak buahnya mendominasi perlawanan pada babak pertama di White Hart Lane.

Lloris menyelamatkan cubaan Radamel Falcao, Robin van Persie, Wayne Rooney and Ashley Young sementara cubaan Phil Jones dinafikan pengadil kerana sudah ofsaid.

United kehilangan khidmat Antonio Valencia yang ditimpa kecederaan pada babak pertama dan digantikan dengan Rafael da Silva.

Spurs mendominasi perlawanan pada babak kedua dengan penjaga gol United, David de Gea menyelamatkan cubaan berbahaya Andros Townsend, Federico Fazio dan Christian Eriksen. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:11 AM