Mohd Faiz bersama KJ menjawab soalan media. FOTO HM/MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Faiz bersama KJ menjawab soalan media. FOTO HM/MOHD FADLI HAMZAH
BERNAMA

Sepang: Mohd Faiz Subri menerima insentif keseluruhan berjumlah RM150,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kejayaan pemain Pulau Pinang itu memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata insentif sebanyak RM100,000 daripada KBS itu adalah satu pembakar semangat kepada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu untuk terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

"Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan ribuan tahniah kepada Mohd Faiz atas kemenangan yang luar biasa ini. Ini adalah kemenangan pertama Malaysia di peringkat dunia," katanya.

Beliau berkata dalam ucapan penghargaan menyambut ketibaan Mohd Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama isterinya, Norzawanis Hashim, 29 dan dua orang anaknya Akif Fayyad, 4, dan Aqil Zayyan, 8 bulan, di sini, hari ini.

Mohd Faiz memenangi Anugerah Puskas pada majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Zurich, awal pagi Selasa waktu Malaysia.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, yang turut mengiringi Mohd Faiz ke Zurich, memaklumkan insentif sebanyak RM50,000 diberikan FAM merupakan pengiktirafan badan induk itu terhadap Mohd Faiz yang membantu menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Suasana di Pentas Utama Balai Pelepasan KLIA, bergema dengan sorakan hampir 250 peminat bola sepak tempatan yang menyambut kepulangan pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 itu.

Mohd Faiz menerima pengiktirafan terbaik dalam kariernya itu selepas membuat jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, hasil keunikan sepakan percuma ketika membantu pasukan Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lalu.

Beliau juga berjaya mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama meraih anugerah berprestij itu setelah mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Mohd Faiz dalam ucapan ringkasnya di KLIA melahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokongnya yang hadir seawal 2 petang tadi.

"Terima kasih kepada penyokong yang hadir serta pengundi saya untuk anugerah ini," katanya ringkas sebelum bergegas untuk mengambil penerbangan seterusnya ke Pulau Pinang pada 7 malam nanti.

Penyokong Team Malaysia (TM) yang hadir membawa bunting yang bertulis, Faiz 'Winner The Best' dan bersorak nama pemain itu ketika Mohd Faiz muncul di atas pentas utama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 8:41 PM