Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Teka-teki siapakah ketua jurulatih tetap skuad hoki negara dijangka akan terjawab selewat-lewatnya menjelang tirai Tahun Baru ini.

Ini kerana, difahamkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan membuat pengumuman menerusi satu sidang media, sekali gus merungkai pelbagai pertanyaan sebelum ini.

Menurut sumber, mengikut perancangan asal, pengumuman itu sepatutnya dilakukan Sabtu lalu oleh Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Namun, ia terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan, tetapi kemungkinan besar selewat-lewatnya Khamis ini.

“Belum mendapat pengesahan daripada pejabat Tengku (untuk mengadakan sidang media). Jika ada, ia pasti akan dimaklumkan kepada media,” kata sumber itu semalam.

Antara nama yang disebut-sebut akan menggalas tugas itu adalah Neil Hagwood, bekas jurulatih skuad kebangsaan wanita India.

Sejak pengunduran pengendali dari Afrika Selatan Paul Revington, senario barisan kejurulatihan skuad negara dilihat agak kusut dan bermasalah.

Selepas Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dilantik menggantikan pengendali dari Afrika Selatan itu, Dhaarma kemudian direhatkan berikutan kegagalan di Sukan Komanwel serta Piala Dunia sebelum digantikan bekas penolong jurulatih Arul Selvaraj.

Arul pula gagal memenuhi sasaran mara ke final Sukan Asia dan akibat itu beliau pula digantikan oleh Tai Beng Hai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:06 AM