Yusnidah Husain bersama suami ketika pada perbicaraan permohonan hak penjagaan kekal dua anak saudaranya di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. - Foto AIZUDDIN SAAD
Yusnidah Husain bersama suami ketika pada perbicaraan permohonan hak penjagaan kekal dua anak saudaranya di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. - Foto AIZUDDIN SAAD
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, diberitahu dua kanak-kanak yang kematian ibu bapa mereka dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu kelang (DUKE) pada Mei 2015, selesa dan gembira tinggal dengan ibu dan bapa saudara mereka.

Saksi, Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Nurul Huda Md Noor, 34, berkata maklumat itu diperolehi ketika sesi kaunseling bersama Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 9, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 5, pada 11 Ogos 2015 di bilik kaunseling JKM.

"Dalam sesi perkongsian itu mereka masih ingat ibu dan ayah mereka, dan pada masa sama gembira tinggal dengan ibu dan bapa saudara yang mereka panggil 'mama' dan 'baba'.

"Saya ada bertanya sama ada kakak dan adik nak tinggal dengan nenek (defendan) dan mereka jawab tak nak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam syarie Mahyuddin Md Zahari yang mewakili Yusnidah Husain, 49, iaitu emak saudara kanak-kanak itu, selaku plaintif dalam perbicaraan hak penjagaan kekal (hadanah) Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila.

Nurul Huda, saksi kedua pihak plaintif juga memaklumkan dalam sesi kaunseling 30 minit itu beliau menggunakan kaedah terapi melukis.

"Saya beri mereka kertas lukisan dan pensil warna, tajuk adalah bebas dan mereka melukis bentuk hati dan mewarnakannya, berdasarkan lukisan itu ia menggambarkan kegembiraan mereka.

"Kesimpulannya, kanak-kanak itu selesa, nampak gembira walaupun masih ada kedukaan, mereka gembira tinggal dengan plaintif, perkembangan anak-anak ini lebih baik jika mereka dapat tinggal dengan orang yang mereka selesa," katanya yang turut memaklumkan ada membuat lawatan ke rumah ibu kepada Yusnidah pada 4 Mei 2015 di Gombak.

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, dan menamakan Wirda, iaitu ibu kepada emak kanak-kanak itu, sebagai defendan.

Pada 11 Ogos 2015, mahkamah memberi hak penjagaan sementara dua kanak-kanak itu kepada Yusnidah.

Dalam kejadian pada 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya membabitkan kereta MyVi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves, dekat sini.

Defendan diwakili peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 7:34 PM