Raja Noraina Raja Rahim


Tampin: Wanita berusia 36 tahun yang dipercayai mengabaikan kanak-kanak berusia tiga tahun di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, Gemencheh di sini, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rembau, pagi esok.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 33(c) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Pegawai penyiasat sudah melengkapkan kertas siasatan dan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dituduh, esok," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suspek ditahan di Balai Polis Air Kuning Selatan, Jumaat lalu, selepas penemuan kanak-kanak lelaki, Muhammad Adam yang ditinggalkan dan diabaikan dalam sebuah bilik di rumah sewa mereka.

Hamazah berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan wanita berusia 37 tahun yang mengaku ibu mangsa dan akan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 8:44 PM