KEADAAN banjir selepas air semakin naik di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
KEADAAN banjir selepas air semakin naik di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Isma Ismail


Kuala Terengganu: Pusat pemindahan di Surau Kampung Nyatoh, Setiu sudah ditutup operasi, tengah hari ini.

Mangsa banjir di seluruh negeri ini, petang ini, pula mencatatkan penurunan kepada 1,370 orang daripada 337 keluarga, berbanding 1,430 orang, pada tengah hari.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu.gov.my, sebuah pusat pemindahan Dewan Sivik Paka di Dungun juga sudah ditutup menjadikan hanya 128 orang daripada 37 keluarga masih berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau, di daerah itu.

Sementara itu, di kawasan Kuala Terengganu/Kuala Nerus yang mempunyai jumlah mangsa teramai di lima pusat pemindahan di daerah terbabit kekal dengan 1,203 orang pada petang ini.

Seramai 190 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak manakala empat orang pula masih kekal berada di Masjid Pulau Redang, SK Banggol Peradong (461 orang), SK Bukit Guntung (422 orang) dan SK Gemuroh (126 orang).

Jumlah mangsa di Marang juga masih tidak berubah dengan 39 orang daripada 13 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan di SK Pasir Putih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 4:57 PM