KEADAAN mangsa banjir di PPS SK Kompleks Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
KEADAAN mangsa banjir di PPS SK Kompleks Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Empat sekolah di Terengganu masih ditutup esok.

Ini berikutan beberapa masalah seperti pendawaian elektrik tidak selamat selain menjadi pusat pemindahan mangsa banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntung dan SK Kompleks Gong Badak di Kuala Nerus, masih menjadi pusat pemindahan mangsa banjir.

Menurutnya, di Kuala Terengganu pula SK Banggol Peradong tutup ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan.

"SK Sungai Las, Setiu, terpaksa ditutup kerana masalah pendawaian elektrik yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan murid.

"Jumlah keseluruhan murid terjejas 1,970 selain 180 guru dan 28 Anggota Khidmat Pelaksana (AKP)," katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu terus berkurang dengan 1,276 orang berada di tujuh pusat pemindahan malam ini berbanding 1,342 orang, pada sebelah petang, 7 Januari.

Dungun terus mencatatkan penurunan jumlah mangsa apabila hanya tinggal 78 orang daripada 20 keluarga di pusat pemindahan di SK Durian Mentangau.

Mangsa di pusat pemindahan di SK Pasir Putih, Marang juga menurun kepada 25 orang daripada lapan keluarga berbanding 39 orang daripada 13 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 11:07 PM