SIVANESAN (tengah) teruja sertai PKNS.
SIVANESAN (tengah) teruja sertai PKNS.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas melonjakkan FELDA United FC muncul naib juara Liga Super, bekas pemain Negeri Sembilan S Sivanesan bertekad membantu pasukan baharu, PKNS FC dalam misi merealisasikan sasaran terbaik dalam Liga-M musim depan.

Tonggak tengah berusia 25 tahun itu berkata, pengalaman beraksi bersama Negeri Sembilan selama tiga musim dari 2013 hingga 2015 sebelum berpindah ke FELDA United musim ini, akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu pasukan berkenaan merealisasikan sasaran ditetapkan.

“Saya begitu teruja apabila pihak pengurusan pasukan PKNS sudi mendapatkan khidmat bagi menghadapi musim depan.

“Ini membolehkan saya terus beraksi dalam saingan Liga Super apabila PKNS kembali dalam liga utama itu selepas menamatkan saingan Liga Perdana di tempat kedua.

“Musim ini, saya beraksi bersama FELDA United FC dan dapat membantu pasukan itu muncul naib juara Liga Super. Pencapaian peribadi terbaik saya setakat ini,” katanya semalam.

Sivanesan antara pemain yang memainkan peranan utama dalam skuad Negeri Sembilan sebelum ini dan pernah diberikan tugas menerajui jentera serangan, namun tidak dapat membantu skuad terbabit kembali ke Liga Super terutama pada musim 2015 ketika di bawah bimbingan K Devan.

“Saya yakin dengan barisan pemain PKNS, kami boleh memberikan saingan mantap. Pemain seperti Zamir Selamat, Azmi Muslim, Affizee Mamat, Fauzan Dzulkifli, Bobby Gonzales dan Khyril Muhymeen begitu berpengalaman,” katanya.

Mengenai latihan di bawah ketua jurulatih E Elaravasan, Sivanesan berkata, dia tidak menghadapi banyak masalah kerana pernah berada di bawah pengendali berpengalaman itu pada 2012.

“Saya berharap kehadiran dalam pasukan dirasai dan mahu membuktikan kemampuan sebenar dengan membantu PKNS menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 8:59 AM