FOTO  Wikimedia Commons/Ashley Pomeroy
FOTO Wikimedia Commons/Ashley Pomeroy
Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Coklat jenama Daim dan Toblerone diperbuat daripada bahan yang sesuai dan selamat dimakan masyarakat Islam kata pemasar jenama coklat berkenaan, Mondelez Malaysia.

Ketua Hal Ehwal Korporat dan Kerajaannya Raja Zalina Raja Safran berkata, walaupun coklat Toblerone dan Daim dihasilkan di negara yang tidak memerlukan pensijilan halal, produk terbabit memenuhi piawaian pemakanan pengguna di seluruh dunia.

"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di seluruh pasaran tempatan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memastikan produk kami memenuhi keperluan pengguna di Malaysia.

"Semua maklumat mengenai bahan untuk menghasilkan coklat Toblerone dan Daim tertera dan pengguna dinasihatkan agar merujuk kepada pek bungkusan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Bahagian Hab Halal JAKIM mengeluarkan kenyataan dua jenama coklat kegemaran ramai itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

Pengarahnya, Dr Sirajuddin Suhaimee dipetik berkata,tujuan JAKIM mengeluarkan kenyataan mengenai pengesahan sijil halal berhubung kedua-dua jenama itu kerana menerima banyak pertanyaan masyarakat yang ingin mendapatkan kepastian berkenaan status halal dua produk terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 8:05 PM