PEMENANG bergambar kenangan selepas kejohanan.
PEMENANG bergambar kenangan selepas kejohanan.

Kuala Lumpur: Karnival Sukan Oakleaf Park 2016 baru-baru ini, berlangsung meriah dengan pelbagai acara dipertandingkan termasuk sukan tradisional seperti galah panjang dan batu seremban selain sukaneka.

Karnival tahunan anjuran Kelab Sukan Oakleaf dan Surau Al Rabitah Oakleaf membabitkan penduduk Oakleaf Park, memasuki edisi keempat dan kali ini ia menarik lebih banyak penyertaan.

Karnival itu dirasmikan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias dan turut mendapat sokongan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Penduduk Zon 5 Ampang serta beberapa agensi swasta.

Ia dimulakan dengan acara galah panjang bawah 18 tahun lelaki dan wanita sebelum disusuli sepak takraw antara regu yang dimenangi pasukan Rebel selepas mengalahkan Otai 21-17, 21-17.

Dalam acara bola jaring, England Boleh muncul juara selepas menewaskan Malaysia Boleh dengan kemuncak acara dipertandingkan adalah futsal bawah 12 serta 18 tahun.

Pasukan Gendut’s muncul juara kategori bawah 18 tahun selepas menewaskan Opai 7-4 manakala kategori bawah 12 tahun diungguli All Stars yang mengatasi Legendary 3-2 menerusi penentuan penalti.

Selain itu, perlawanan persahabatan bola jaring antara Oakleaf dan PDRM serta sepak takraw bersama pasukan Kelab Sukan Melawati turut diadakan sebagai selingan.

Penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Karnival yang juga Pengerusi Surau Al Rabitah Oakleaf Mejar Mansor Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:27 AM