MOHAMAD (tengah) bersama sebahagian peserta yang mengambil bahagian pada Karnival Sukan UMNO Rembau.
MOHAMAD (tengah) bersama sebahagian peserta yang mengambil bahagian pada Karnival Sukan UMNO Rembau.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Persembahan bertenaga dan mantap dipamerkan pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi membolehkan pasukan itu muncul juara keseluruhan Karnival Sukan UMNO Bahagian Rembau yang berlangsung di beberapa gelanggang berasingan sekitar Seremban, baru-baru ini.

Pasukan itu menewaskan DUN Chembong yang menduduki tempat kedua diikuti DUN Kota di tempat ketiga dan terakhir adalah DUN Rantau.

DUN Paroi mendominasi empat acara iaitu bola jaring, sepak takraw, bola sepak 9 sebelah dan bowling wanita individu manakala DUN Chembong dalam acara futsal lelaki dan wanita.

Pasukan DUN Kota pula mendominasi cara badminton dan bowling lelaki individu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Mohd Ghazali Abdul Wahid melahirkan rasa bangga dengan komitmen serta semangat dipamerkan para peserta.

Menurutnya, walaupun persiapan rapi tidak dapat dilakukan kerana komitmen tugas masing-masing, namun pemilihan peserta terbaik menyumbang kepada kejayaan pasukan berkenaan.

“Kami memilih peserta yang berwibawa untuk membawa cabaran dalam setiap acara dipertandingkan dan mereka yang dipilih itu jelas tidak mengecewakan apabila berjaya mengetepikan pencabar lain.

“Saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada peserta yang bersaing hingga mampu meraih kejayaan sekali gus menjulang nama pasukan.

“Saya harap mereka dapat meneruskan aksi cemerlang pada karnival sukan peringkat negeri yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Karnival Sukan UMNO 2016 julung kali diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli di semua peringkat dengan peringkat negeri akan diadakan tidak lama lagi.

Menteri Besar yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan hadir menyaksikan pertandingan bowling dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 8:57 AM