PENYOKONG tidak harus jadi mangsa ketidakupayaan persatuan bermasalah.
PENYOKONG tidak harus jadi mangsa ketidakupayaan persatuan bermasalah.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mahu badan induk bola sepak negara bertindak tegas dengan tidak membenarkan pasukan bermasalah daripada menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan.

Beliau berkata, pasukan yang tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk bertanding boleh mencetuskan pelbagai masalah dalam perjalanan liga selepas ini.

“Macam mana sesetengah pasukan ini nak bertanding kalau hanya hidup meminta ihsan duit kerajaan negeri. Bagaimana jika mereka bertanding pada pertengahan liga tidak ada duit, ia pasti mengundang masalah.

“Bagaimana mahu membayar gaji pemain dan jika tak bayar gaji, pemain tak boleh fokus dan kemudian timbul isu bookie dalam mengatur perlawanan.

“Jadi FAM kena bertegas, mereka kena bertemu dengan semua pasukan untuk meneliti masalah ini. Tidak guna kita nak buat penswastaan liga jika masalah lama seperti ini masih berulang,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Krisis kewangan menimpa pasukan tempatan termasuk dari Liga Super Selangor dan Kelantan yang berkemungkinan terpaksa menarik diri jika gagal mendapat dana kerajaan negeri atau penaja sebelum sepak mula 20 Januari depan.

Raja Ahmad yang pernah menjadi pengurus Perak pada era 1990an berkata, ia tidak memberi kesan jika pasukan besar seperti Selangor dan Kelantan menarik diri jika masalah kewangan menjadi alasan.

“Ia bukan masalah jika Liga Super hanya ada 10 pasukan, kita mahukan kualiti daripada kuantiti. Jika kehadiran mereka ini boleh mencetuskan masalah lebih baik tidak ada. Pihak pengurusan sepatutnya tidak boleh hanya bergantung kepada bantuan kerajaan negeri kerana dengan situasi ekonomi sekarang, mereka perlu lebih berdikari.

“Bukan hanya Selangor dan Kelantan tapi pasukan lain perlu berbelanja secara berhemah mengikut kemampuan sendiri. Apa salahnya guna pemain muda, kerana mereka juga bagus dan gaji tidak mahal. Mereka hanya perlu diberikan peluang kalau tidak, pemain muda ini tak akan ke mana,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:09 AM