Keadaan kereta yang bertembung lori pasir sehingga mengorbankan pemandu kereta itu di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu dekat Kampung Mahligai, 12.30 tengah hari tadi. FOTO Nor Amalina Alias
Keadaan kereta yang bertembung lori pasir sehingga mengorbankan pemandu kereta itu di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu dekat Kampung Mahligai, 12.30 tengah hari tadi. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Lelaki berusia 33 tahun maut selepas kereta dipandu bertembung dengan lori pasir di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu dekat Kampung Mahligai, di sini 12.30 tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Nik Mohd Noor Shamsuddin dari Kampung Padang Jelutong, Kota Bharu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Mangsa juga terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh kerana tersepit.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Viva dipandu mangsa dari persimpangan lampu isyarat Melor ke Pasir Puteh hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa dikatakan gagal memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan sebuah lori pasir.

"Dia meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori tidak cedera dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 5:07 PM