Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Cecair nitrogen yang terperangkap di dalam ruang kosong biskut berpotensi kekal dalam bentuk cecair yang boleh memudaratkan.

Pensyarah Kanan Teknologi Pemprosesan Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Saiful Irwan Zubairi berkata, ia selamat sekiranya meruap menjadi gas selepas terdedah kepada suhu bilik tetapi sebaliknya berlaku jika kekal dalam bentuk cecair.

"Proses penghasilan biskut menghasilkan banyak ruang kosong dan ketika biskut direndam dalam cecair nitrogen, ia menyerap masuk ke dalam biskut menerusi ruang terbuka di permukaannya dan seterusnya memasuki ke dalam ruang yang lebih dalam.

"Ketika ia dimasukkan ke dalam mulut, cecair nitrogen yang terperangkap di dalam biskut akan keluar dan lebihan tumpahannya memberikan kesan 'sensasi terbakar' pada lidah.

"Pada suhu biasa, ia akan meruap menjadi gas nitrogen sama seperti kita menghirup udara yang mengandungi 78 peratus nitrogen dan selebihnya oksigen dan karbon dioksida. Ianya akan berbentuk seperti kabus atau berasap kerana suhu sejuk lampaunya menyebabkan udara lembap telah bertukar menjadi titisan-titisan air meruap halus," katanya ketika dihubungi.

Namun, ia boleh menyebabkan kematian sel tisu secara kekal sekiranya terdedah terlalu lama dan cecair nitrogen tidak sempat bertukar kepada gas berkabus nitrogen pada suhu atmosfera.

"Tiada tindak balas kimia atau kesan sampingan pada sistem pencernaan manusia sekiranya tertelan namun ianya bergantung kepada tempoh pendedahan dan kuantiti yang ditelan.

"Keseriusan bergantung kepada kuantiti dan berapa lama tisu manusia terdedah kerana ianya boleh menyebabkan kematian sel tisu secara kekal jika prinsip asas keselamatan pengendaliannya tidak dipatuhi," katanya.

Dr Saiful Irwan berkata, cecair nitrogen kebiasaannya digunakan untuk mengekalkan jangka hayat sesuatu sel hidupan seperti sel kanser dan sel normal untuk tujuan kajian atau perubatan.

"Pada saya ini sekadar 'trend' saja biskut berasap dan sangat tak patut digunakan dalam penyediaan makanan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang remaja di Kedah mendakwa cedera pada tangan selepas terkena cecair nitrogen dalam biskut ini dan membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima tiga aduan baru menjadikan lapan aduan keseluruhan membabitkan mangsa yang makan biskut dan aiskrim berasap di negeri itu.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di sini mendapati peniaga masih menjalankan perniagaan biskut berasap dan aiskrim menggunakan cecair nitrogen ini seperti biasa.

Mereka menjual biskut itu dengan beberapa perisa seperti coklat, strawberi, butterscotch dan pudina pada harga RM12 secawan yang mempunyai 20 biji biskut pelbagai warna.

Penjual dilihat menggunakan sarung tangan untuk menuang cecair nitrogen ke dalam cawan yang diisi dengan biskut dan dibiarkan selama beberapa saat sebelum sedia di makan.

Wartawan sempat bertanyakan kepada pembeli yang mencuba makanan yang popular di Korea itu dan mengakui tidak mengetahui mengenai kesan buruk cecair nitrogen.

"Tak tahu pun pasal berita itu. Saya cuba rasa biskut ini dan kongsi dengan keluarga. Rasa dia manis dan sejuk saja," katanya yang enggan dikenali.

Berita berkaitan:

Pastikan cecair nitrogen sudah meruap

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 1:22 AM
SAIFUL Irwan Zubairi
SAIFUL Irwan Zubairi
CONTOH biskut berasap manakala gambar kecil menunjukkan imbasan keratan dan ruang kosong yang boleh didapati dalam biskut.
CONTOH biskut berasap manakala gambar kecil menunjukkan imbasan keratan dan ruang kosong yang boleh didapati dalam biskut.