Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "(Jika benar) Racun yang digunakan untuk membunuh, mungkin kombinasi beberapa bahan contohnya kloroform dengan bahan beracun seperti risin."

Demikian pandangan Ketua Jabatan Kimia Universiti Malaya (UM) Professor Dr Aziz Hassan berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada Isnin lalu.

"Kloroform digunakan untuk membuatkan seseorang itu tidak sedar dan apabila badan tidak dapat menahan bahan dari luar, kemudian baru racun seperti risin menyerang.

"Risin sebenarnya di ekstrak daripada biji kastor, daripada pokok kastor (dikenali sebagai pokok jarak di negara ini) iaitu bahan yang digunakan untuk membuat minyak kastor.

"Tetapi secara semulajadi, jumlahnya sangat kecil dalam biji itu dan jika dibuat racun, ia mungkin risin sintetik yang dihasilkan dalam makmal," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Risin dikatakan antara racun yang mungkin digunakan untuk membunuh Jong-nam, namun setakat ini polis belum mengesahkannya.

Professor Dr Aziz berkata, suspek pembunuhan itu juga pastinya mempunyai pengetahuan terperinci mengenai fizikal Jong-nam.

"Jika betul risin digunakan untuk membunuh Jong-nam, pembunuhnya tahu untuk menentukan dos dan kepekatan racun yang digunakan kerana ia bergantung kepada berat dan tinggi mangsa," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kimia UM Dr Arniza Khairani Mohd Jamil berkata, risin bertindak menghalang pembentukan protein.

"Risin menghalang pembentukan asid amino kepada protein seterusnya mengancam sel ribosom, iaitu sebahagian daripada Asid Deoksiribonukleik (DNA).

"Jadi pendedahan kepada risin akan memberi kesan kepada sistem saraf pusat, kelenjar adrenal, buah pinggang dan hati," katanya.

Seorang lagi Pensyarah Kanan Jabatan Kimia UM, Professor Dr Rosiyah Yahya turut menjelaskan yang selain risin, sianida juga boleh menyebabkan kematian.

"Jika mangsa didedahkan kepada sianida yang akan meruap menjadi gas monoksida, apabila disedut ia akan menghalang pertukaran gas oksigen menjadi karbon dioksida.

"Mangsa akan berdepan keracunan gas monoksida sehingga membawa maut dan kesannya agak jelas kerana darah yang kurang oksigen lebih pekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 3:49 AM