PESERTA  dimandikan dengan pancutan air bomba sebelum berkhatan.
PESERTA dimandikan dengan pancutan air bomba sebelum berkhatan.
Norazimah Narudin


Johor Bahru: Rasa prihatin terhadap masyarakat mendorong seorang aktivis masyarakat berhabis wang dan tenaga untuk menjayakan Majlis Khatan Beramai-ramai di Taman Dasa Mutiara, di sini, semalam.

Berkat kerjasama dan bantuan ahli keluarga serta masyarakat setempat, seramai 35 kanak-kanak di kawasan itu berjaya dikhatankan dalam tempoh lima jam bermula pada jam 8 pagi semalam.

Abas Abd Rahman, 53, berkata majlis itu adalah yang pertama diadakan secara individu apabila mendapati tidak ada pihak yang tampil untuk menganjurkannya.

“Sebelum ini, sudah dilaksanakan enam kali majlis khatan beramai-ramai oleh pihak-pihak tertentu, tapi kali ini agak berlainan sedikit kerana saya anjurkan secara individu sambil dibantu ahli keluarga dan jiran.

“Saya mendapatkan RM3,500 dana dari sahabat dan penyumbang individu dalam menjayakan program ini yang dilihat dapat membantu golongan anak yatim, asnaf dan orang yang keluarga kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui pada majlis yang dirasmikan Timbalan Ketua Balai Polis Bandar Dato Onn, Inspektor Salleh Kassim.

Abas berkata, program itu antara program yang boleh mengeratkan silaturahim antara masyarakat dan tidak keberatan menyumbang sedikit wang ringgit dan tenaga.

Katanya, penyertaan 20 kanak-kanak terawal hanya membayar RM50 saja berbanding 15 orang lagi membayar dengan harga biasa iaitu RM90.

“Perancangan awalnya, majlis berkhatan itu dibuat di klinik tetapi apabila penyertaan semakin ramai, saya membuat keputusan untuk mengadakan majlis di kediaman kami ini dengan memanggil 10 kakitangan perubatan dari hospital berdekatan,” katanya.

Sementara itu, dua peserta berkhatan Alif Fitri Mohd Zaki dan rakannya Muhammad Yuzry Hazim,10, masing-masing berdebar menunggu giliran masing-masing untuk dikhatankan oleh tok mudim yang bertugas.

Menurut Alif, mereka berdebar-debar menunggu giliran, tetapi tidak sabar untuk selesai dengan cepat dan pulang ke rumah.

“Perasaan teruja dan takut, tetapi dalam masa sama saya juga tidak sabar untuk melalui semua ini dengan cepat,” katanya.

Pada majlis itu juga, kanak-kanak terbabit menjalani proses memotong pulut kuning, mandi bunga dan kenduri doa selamat serta dijirus air dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangkar Pulai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 8:48 AM