RADZI bersama model klip video.
RADZI bersama model klip video.
Oleh Nor Akmar Samudin

Mahu memperkenalkan dirinya di pentas seni dengan nama iR Radzi iaitu singkatan nama penuhnya, Mohd Shah Radzi Jamali.

Tanpa sebarang publisiti, penyanyi baru ini sebenarnya sudahpun menghasilkan tiga single iaitu Kontra Analisa, Maafkan Aku pada 2011 dan Sempurna Waktu, tahun ini.

Jejaka berusia 30 tahun dari Kuching, Sarawak itu ditemui ketika menjalani penggambaran klip video lagu Maafkan Aku dan Sempurna Waktu di banglo milik Arie Zaharie yang juga pemilik Arie Zaharie Production Sdn Bhd di Kajang, Selangor.

Arie yang mengagumi bakat seni Radzi turut berbesar hati menaja penggambaran itu yang turut dibuat di pusat beli-belah Nu Sental, Kuala Lumpur.

Kerjaya seni Radzi bermula apabila dia memuat naik videonya menyanyikan lagu Demi Cinta yang dipopularkan Kerispatih dari Indonesia di YouTube yang kemudiannya berjaya menarik perhatian komposer terkenal Audi Mok.

Kemudian, menerusi e-mel Radzi berkenalan dengan komposer Indonesia, Bambino yang turut tertarik dengan video itu. Bambino seterusnya menghasilkan lagu Maafkan Aku untuknya, malah Radzi turut mencipta lagu Sempurna Waktu.

Radzi berkata, Audi memberi komen positif terhadap cara nyanyiannya sebelum menghasilkan lagu Kontra Analisa yang liriknya ditulis Zel Firdhaus.

Apa yang menarik, lagu itu berjaya memenangi tiga kategori pada Anugerah Carta Borneo Era pada 2011 iaitu Lagu Borneo Paling Popular, Artis Solo/Band Borneo Popular dan Artis Harapan Borneo Popular.

Radzi kemudian bertemu Arie yang banyak menerbitkan drama di Kuching yang mengambilnya berlakon dalam drama Noktah Cinta dan Melodi Cinta Sarikei.

"Arie mahu saya mengembangkan bakat seni dan mencadangkan saya berpindah ke Kuala Lumpur.

"Saya kini di bawah label Cloudworks Entertainment milik Aszuad Zakaria yang juga pengurus saya. Dengan sokongan daripada Arie sebagai mentor saya dan Aszuad, saya semakin selesa untuk bergerak lebih aktif dalam bidang seni, malah Arie juga menyediakan tempat tinggal untuk saya buat sementara waktu di Kuala Lumpur," katanya.

Menurut Radzi, dia mahu serius dalam bidang yang diceburi dan mahu membina nama mulai tahun depan.

Bekas graduan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) Kuching dalam bidang Sumber Manusia ini pernah membuka syarikat pengurusan acara sebelum ini di Kuching tetapi terpaksa ditinggalkan buat seketika kepada rakannya di sana.

Radzi yang begitu meminati kumpuan Innuendo, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain berharap peminat seni suara tanah air dapat menyokong dan menerimanya.

Ketika berusia 15 tahun, Radzi pernah menyertai pertandingan Bintang Remaja RTM dan pernah berduet dengan Sam Innuendo dalam pertandingan Soulstar Talent Borneo pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:08 AM