Jamaludin (kiri) and Suresh selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.
Jamaludin (kiri) and Suresh selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.

Sri Ayu Kartika Amri

[email protected]

Kuala Lumpur: Axiata Group Berhad (Axiata) melalui anak syarikatnya, edotco Group Sdn Bhd (edotco) menandatangani urus niaga penempatan ekuiti utama dan sekunder yang dijangka meraih modal sehingga AS$600 juta (RM2.7 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif edotco, Suresh Sidhu berkata, jumlah itu dapat diraih menerusi perjanjian bertempoh dengan Innovation Network Corporation of Japan (INCJ) dan Khazanah Nasional Berhad bagi pembelian saham edotco.

Katanya, INCJ akan melabur lebih AS$400 juta (RM1.77 bilion) dan Khazanah pula AS$200 juta (RM885 juta) masing-masing untuk saham edotco.

“Kami berbesar hati menerima sokongan kukuh daripada pelabur ini dan dengan suntikan modal tambahan ini menyediakan edotco kapasiti untuk menguatkan pertumbuhan strategi termasuk peluasan ke rantau Asia.

“Sekarang kami sudah di peringkat akhir dan ia dijangka dimuktamadkan menjelang suku pertama 2017,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Sejak ditubuhkan pada 2012 sebagai syarikat menara pertama di Asia, edotco mencapai prestasi kukuh secara konsisten, termasuk menguruskan lebih 25,000 menara telekomunikasi di lima negara utama Asia. Antara negara ditembusi ialah Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Kemboja dan Malaysia.

Suresh berkata, buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk menyenaraikan tawaran awam permulaan (IPO), namun akan mempertimbangkannya selepas 2018.

Sementara itu, Jamaludin berkata, Axiata kekal sebagai pemegang saham utama dalam edotco sebanyak 50 peratus.

Menurutnya, kumpulan komited meneroka pasaran telekomunikasi di luar negara sebagai usaha mempelbagaikan portfolio dan meningkatkan penguasaan pasaran.

“Bagi Axiata, edotco menjadi sangat penting dalam menjana potensi dividen dan perolehan syarikat untuk kumpulan bagi peringkat medium dan saham sekunder sebanyak AS$200 juta akan membantu Axiata mengurangkan hutang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 9:22 AM