SEORANG penunjuk perasaan melaungkan slogan di depan lukisan karikatur Park  ketika perhimpunan menggesa pendakwaan presiden itu di Seoul, semalam. - AFP
SEORANG penunjuk perasaan melaungkan slogan di depan lukisan karikatur Park ketika perhimpunan menggesa pendakwaan presiden itu di Seoul, semalam. - AFP
AFP

Seoul: Rakan dan kenalan kepada Choi Soon-Sil - sahabat Presiden Park Geun-Hye yang dikaitkan dalam skandal rasuah negara itu semalam berkata, wanita terbabit amat berpengaruh malah sering diminta pendapat bukan saja membabitkan pelantikan pegawai kanan, tetapi juga pakaian pemimpin terbabit.

Park yang berdepan pendakwaan di Parlimen dituduh membiarkan Choi mencampuri pelbagai hal ehwal kerajaan dan mengarahkan pegawai membocorkan dokumen rahsia kepada wanita itu yang tiada pangkat khusus atau pelepasan keselamatan.

Park juga disyaki bersubahat dengan Choi untuk memaksa konglomerat utama negara itu mendermakan dana kepada dua yayasan yang dikawal rakannya.

Prosiding Parlimen berhubung skandal itu melihat keterangan diberikan taikun perniagaan terhebat negara itu dan rakan-rakan Choi termasuk pengarah video K-pop terkemuka Cha Eun-Taek yang membuat video untuk bintang lagu ‘Gangnam Style,’ Psy.

Cha mendakwa Choi pernah memintanya mencadangkan calon untuk jawatan menteri kebudayaan dan penasihat kebudayaan presiden.

Katanya, orang dicadangkannya akhirnya diberi jawatan berkenaan.

“Saya terkejut dan terfikir, bagaimana orang ini sehingga mampu menguasai pemilihan itu?” katanya.

Choi turut digelar ‘Rasputin Korea’ kerana dianggap begitu kuat pengaruhnya terhadap Park. Dia enggan memberi keterangan dalam prosiding siasatan itu walaupun diancam diambil tindakan menghina Parlimen jika tidak bekerjasama.

Sementara itu, pereka fesyen muda Koh Young-Tae - yang hubungannya dengan Choi turut menjadi buah mulut orang - berkata, Choi mampu mempengaruhi pegawai kanan kerajaan, termasuk bekas naib menteri sukan, Kim Chong.

“Choi selamba memberi arahan kepada Kim, tidak ubah seperti dia pembantu peribadinya.

“Choi juga membantu memilih pakaian presiden. Saya pernah memberi Choi sehingga 100 pakaian yang akhirnya dilihat dipakai Park untuk pelbagai majlis rasmi selama beberapa tahun,” katanya dalam prosiding yang disiarkan di televisyen itu.

Skandal itu mencetuskan bantahan besar-besaran di Korea Selatan dengan Park digelar boneka keluarga Choi selain didesak segera melepaskan jawatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 10:22 AM