Mohamed Faroz  dan  Adinan  (kanan) melihat model bangunan BSN di Majlis Pecah Tanah Bangunan Ibu Pejabat  BSN Selangor   di Tapak Projek Menara BSN di Jalan Persiaran Datuk Menteri, Seksyen 14.
Mohamed Faroz dan Adinan (kanan) melihat model bangunan BSN di Majlis Pecah Tanah Bangunan Ibu Pejabat BSN Selangor di Tapak Projek Menara BSN di Jalan Persiaran Datuk Menteri, Seksyen 14.
Ayusliza Azizan

Shah Alam: Jakel Properties Sdn Bhd, syarikat hartanah di bawah Kumpulan Jakel membina bangunan Ibu Pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN) Selangor dengan anggaran kos RM144.2 juta.

Ia meliputi satu blok menara 20 tingkat yang moden menyediakan 23 ruang kerja serta dilengkapi kemudahan ruangan perbankan, surau dan dewan yang dijangka siap pada 2018.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, projek berkenaan adalah yang ketiga dibangunkan Kumpulan Jakel selepas Jakel Square dan Apartmen Servis J Dupion.

“Projek ini projek bangunan pejabat yang pertama dibina Jakel Development yang dibangunkan dan dijangka mengambil masa 18 bulan untuk siap.

“Bangunan berkenaan menjadi antara bangunan tertinggi di Shah Alam dengan keunikannya menghadap lebuh raya serta berdekatan kemudahan pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Ibu Pejabat BSN Selangor di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional, Datuk Adinan Maning.

Dalam pada itu, Mohamed Faroz berkata, projek pertama Kumpulan Jakel adalah Jakel Square di Jalan Munshi Abdullah Kuala Lumpur serta diiktiraf sebagai pusat beli-belah tekstil terbesar di dunia, malah menjadi ikon beli-belah tekstil terbaru di Kuala Lumpur.

Manakala, projek kedua Kumpulan Jakel iaitu Apartment Servis J Dupion di Cheras yang sudah 40 peratus, pembinaan dijangka siap awal 2018.

Katanya, Kumpulan Jakel bakal merancakkan lagi industri pembangunan hartanah negara dengan projek pembangunan komersial di Seksyen 7, Shah Alam dan unit kediaman merangkumi Rumah Mampu Milik sebanyak 4,460 di Setapak, Kuala Lumpur dan 5,560 di Puchong, Selangor.

“Pada masa depan, Kumpulan Jakel akan melancarkan projek pembangunan bercampur terdiri daripada pusat beli-belah, hotel dan apartment servis di Seksyen 7, Shah Alam.

“Walaupun harga hartanah di pusat bandar raya tinggi, Kumpulan Jakel beriltizam menawarkan harga kompetitif bagi membantu meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 7:21 AM