Kuala Lumpur: U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) menjangkakan prestasi yang lebih baik pada tahun depan dengan anggaran pertumbuhan dua digit selepas merekodkan pertumbuhan yang baik tahun ini berbanding 2013.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Heang Tuck berkata, secara keseluruhan, U Mobile mencatatkan prestasi memberangsangkan sepanjang 2014 walaupun berdepan keadaan pasaran yang tidak menentu.

“Untuk tahun ini, U Mobile merekodkan pertumbuhan yang baik berbanding 2013 dengan prestasi memberangsangkan berbanding purata industri.

“Pada tahun lalu, kami mencatatkan pertumbuhan tiga hingga empat peratus dan kami yakin dapat mengekalkan atau mencatatkan pertumbuhan lebih baik bagi 2015 terutama dengan pertambahan infrastruktur 3G dan 4G LTE,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada April tahun depan dijangka memberi kesan kepada prestasi syarikat namun, ia diyakini hanya bersifat sementara.

“Pelaksanaan cukai seumpama ini adalah sesuatu yang baru dan pengguna mungkin mengambil sikap tunggu serta lihat.

“Peringkat awal pelaksanaan GST kelak dijangka memberi kesan kepada penggunaan telekomunikasi, namun ia diharap akan kembali seperti sedia kala selepas pengguna mula tahu cara untuk merancang perbelanjaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Wong berkata, penambahan 2,000 tapak rangkaian 3G dan 4G LTE yang akan siap sepenuhnya menjelang akhir 2015 akan menjadi penyumbang utama dalam pertumbuhan syarikat pada tahun depan.

“Peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk tujuan berkenaan adalah satu jumlah besar dan kami akan bergerak secara agresif untuk memastikan perkhidmatan ini dapat memberi kepuasan kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, rangkaian 3G akan diperluaskan ke negeri seluruh Malaysia terutama Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Perak, namun rangkaian 4G LTE akan ditumpukan kepada lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor.

Buat masa ini, terdapat lebih 4,000 lokasi 3G dan kira-kira 50 lokasi menempatkan rangkaian 4G LTE kendalian U Mobile.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 10:49 AM