Pattani: Tiga orang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam dua kejadian tembakan berasingan di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang anggota pengawal sukarela, Thawat Pongsuwan, 43, dan isterinya, Papimol Chaikong, 31, maut selepas ditembak dua lelaki bersenjata.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan itu) mangsa yang menaiki sebuah motosikal ditembak suspek yang mengekori mereka dengan motosikal.

Kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari daerah Don Rak menuju ke bandar Pattani itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Kira-kira setengah jam kemudian, dua lelaki bersenjata menembak mati seorang ketua kampung dan mencederakan isterinya dalam kejadian di daerah Yaring.

Ketua kampung Moo 3, Pradab Ma-injon dan isterinya yang menaiki sebuah trak pikap ditembak dua lelaki yang menaiki motosikal.

Ketua polis Yaring, Montri Kongwatmai berkata, suspek mengekori pasangan berkenaan sebelum melepaskan tembakan ketika kenderaan itu berhenti.

“Pradab maut akibat terkena tiga das tembakan di badannya manakala isterinya pula parah,” katanya.

Kumpulan pemisah di selatan Thailand sering menyerang penduduk yang bekerjasama dengan kerajaan kerana dianggap sebagai pembelot. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 9:30 AM