Kedai emas di Bagan Serai yang dirompak. - Foto SHAHRIN AHMAD PAUZI
Kedai emas di Bagan Serai yang dirompak. - Foto SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Empat perompak bertopeng dan bersenjatakan senapang patah, kapak serta tukul besi menyamun sebuah kedai emas di Jalan Sepakat, Pusat Bandar Bagan Serai, hari ini.

Dalam kejadian 11.35 pagi itu, keempat-empat suspek dipercayai menaiki kereta Proton Wira, berjaya melarikan lima dulang barang kemas.

Pemilik premis, Fong Kok Heng, 51, berkata ketika kejadian dia bersama isteri serta anak dan seorang pekerja sedang membuka kedai untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya, ketika sedang menyusun barang kemas, kereta dinaiki suspek berhenti di depan kedai dan empat lelaki memakai topeng keluar dari kereta berkenaan.

"Terkejut dengan kehadiran suspek, saya segera menekan loceng kecemasan sebelum berlari masuk ke dalam premis bersama yang lain untuk menyelamatkan diri.

“Ketika bersembunyi, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan disusuli bunyi cermin ruang pameran dipecahkan keempat-empat suspek sebelum mereka melarikan lima dulang barang kemas," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk nilai kerugian dialami pemilik premis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 4:43 PM