FOTO Hazreen Mohamad
FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Orang ramai yang melalui Jalan Sungai Ujong, dekat Plaza Tol Seremban, di sini, gempar apabila lelaki ditemui pengsan dalam Proton Saga, hari ini.

Difahamkan, kejadian itu disedari selepas mendapati kereta lelaki itu yang berhenti di simpang lampu isyarat tidak bergerak walaupun isyarat bertukar hijau, pada 4.50 petang.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Munawir Md Yusoff, berkata pihaknya menerima maklumat awam sebelum jentera dengan kekuatan enam anggota ke lokasi kejadian.

"Mangsa dikenali Sanjive, 40-an, dikatakan pengsan dalam kereta ketika berhenti.

“Orang awam cuba mengejutkan mangsa tetapi tiada maklum balas menyebabkan mereka mengumpil pintu kereta kerana khuatir keadaannya.

"Mangsa tidak sedarkan diri menyebabkan mereka menolak keretanya ke tepi jalan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan pengsan dan diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) bagi rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 7:23 PM