Bahu kiri bapa Azwan kemungkinan retak. FOTO AS
Bahu kiri bapa Azwan kemungkinan retak. FOTO AS
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Bapa penyanyi Azwan Satar, Satar Mohd Sahar,79, terbabit dalam kemalangan jalan raya di Simpang Kg Parit Jalil, Batu Pahat.

Dalam kejadian 7.45 malam kelmarin, motosikal yang ditunggang bapa Azwan dilanggar sebuah kereta ketika mahu menyeberangi jalan.

Menurut bintang Akademi Fantasia 2014 itu, bapanya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib di surau berhampiran dan dilanggar sebuah kereta.

"Mujur kereta terbabit sempat mengelak dan hanya melanggar belakang motosikal lalu bapa saya jatuh dan pengsan.

"Ketika dibawa ke klinik kesihatan berhampiran, doktor memaklumkan bapa tidak mengalami kecederaan teruk tetapi kemungkinan bahu kirinya retak dan pihak klinik terbabit tidak dapat membantu kerana tiada kelengkapan,” katanya.

Azwan berkata, pagi tadi bapanya dibawa semula ke klinik berbayar untuk rawatan lanjut dan mendapati urat bahu kirinya terputus dan tulang bahu itu terpisah daripada belikat serta otaknya mengalami gegaran.

"Doktor memaklumkan kecederaan yang dialami tidak serius cuma ambil masa untuk pulih kerana faktor usia.

"Akibat gegaran yang dialami itu kemungkinan bapa akan hilang ingatan buat sementara waktu kerana asyik bertanya soalan sama berulang kali.

"Doktor memberitahu terpulang samada mahu melakukan pembedahan atau tidak. Selain itu Doktor turut menyarankan bapa saya pergi berurut dan membuat rawatan susulan,"katanya.

Ketika kejadian itu berlaku, Azwan berada di Port Dickson atas urusan kerja dan dimaklumkan oleh adik beradiknya tidak perlu pulang memandangkan keadaan bapa baik sahaja.

"Hari ini saya pulang ke Batu Pahat untuk melihat keadaan bapa. Walaupun esok ada kerja di PWTC, saya tetap balik untuk bertemunya,” kata Azwan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 6:25 PM