NORSHAHRUL Idlan Talaha mengasak penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Phyo, di Stadium Thuwunna. FOTO Osman Adnan
NORSHAHRUL Idlan Talaha mengasak penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Phyo, di Stadium Thuwunna. FOTO Osman Adnan
Daripada Aziman Rosdi di Yangon dan Myanmar


MALAYSIA tersingkir daripada saingan Piala AFF 2016 selepas tumpas 0-1, di tangan Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B, di Stadium Thuwunna, Yangon, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu hanya mengutip tiga mata manakala Myanmar enam mata untuk mengiringi juara kumpulan Vietnam ke pusingan seterusnya.

Skuad kebangsaan yang mendominasi di awal permainan berjaya melakukan percubaan terbaik di pintu gol tuan rumah menerusi rembatan Ahmad Hazwan Bakri namun dinafikan palang gol di minit ke-6.

Bagaimanapun, Myanmar yang tidak pernah layak ke separuh akhir sejak 2004 dan hanya memerlukan seri untuk menamatkan penantian itu kemudian mula mengasak sehingga berjaya mendapatkan sepakan penalti di minit ke-10 akibat kesalahan dilakukan Hazwan.

Tapi, mujur kecekapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat membaca sepakan penalti penyerang, Aung Thu berjaya menyelamatkan keadaan.

Biarpun diasak bertali arus dengan kepantasan pemain Myanmar namun Malaysia, juara 2010 dan naib juara dua tahun lalu berjaya bertahan sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua bersambung skuad kebangsaan cuba melancarkan asakan dengan memasukkan dua penyerang Mohd Safee Sali dan Darren Lok.

Namun skuad kebangsaan dikecewakan dengan rembatan David Htan pada minit ke-88 yang menerjah ke jaring.

Ini kali ketiga Malaysia gagal melayakkan diri ke separuh akhir selepas 1998 dan 2008 manakala Myanmar mara ke separuh akhir bertemu juara Kumpulan B Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 9:37 PM