Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Beberapa kawasan di Bahagian Kuching dan Sibu bergelap apabila berlaku kerosakan di pencawang elektrik laluan Oya-Selangau.

Bekalan elektrik mula terputus pada 6.38 petang ini.

Kerja penyambungan bekalan dijalankan pasukan teknikal Sarawak Energy Berhad (SEB).

Unit Komunikasi Korporat SEB dalam kenyataan, berkata litar berkembar berkapasiti 275 kV terpelantik sehingga menyebabkan dua bahagian berkenaan mengalami gangguan.

Katanya, bekalan dijangka dipulihkan dalam tempoh kira-kira dua jam.

Bagaimanapun, difahamkan, sebahagian besar bekalan di Sibu dikatakan pulih pada kira-kira 8 malam.

Pejabat Kumpulan NSTP (M) Bhd di Kuching, yang turut bergelap sebelumnya pulih pada 8.05 malam.

Sementara itu, tinjauan di bandar raya Kuching ketika tanpa bekalan mendapati laluan utama sesak berikutan ketiadaan lampu isyarat dan polis bertindak mengawal lalu lintas.

Premis di kompleks beli-belah terpaksa ditutup manakala lapangan terbang beroperasi seperti biasa kerana mempunyai bekalan elektrik sokongan untuk kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 8:09 PM