BARANG hiasan yang halus buatannya banyak dijual di Bazar Kashgar.
BARANG hiasan yang halus buatannya banyak dijual di Bazar Kashgar.
PENULIS (kiri) berhenti rehat bersama ahli kembara yang lain ketika berjalan dalam Kashgar Old City.
PENULIS (kiri) berhenti rehat bersama ahli kembara yang lain ketika berjalan dalam Kashgar Old City.
SUASANA dalam Bazar Kashgar.
SUASANA dalam Bazar Kashgar.
PENDUDUK kota purba Kashgar Old City tekun menghasilkan barangan logam.
PENDUDUK kota purba Kashgar Old City tekun menghasilkan barangan logam.
ANTARA gerai yang menjual pelbagai jenis produk daripada kulit dan bulu haiwan di Bazar Kashgar.
ANTARA gerai yang menjual pelbagai jenis produk daripada kulit dan bulu haiwan di Bazar Kashgar.
AHLI kembara merakamkan gambar kenangan di dataran depan Masjid Id Kah.
AHLI kembara merakamkan gambar kenangan di dataran depan Masjid Id Kah.
Mohd Azam Shah Yaacob


Kashgar mungkin tidak sepopular bandar besar di China seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou, Tianjin atau Shenzhen. Namun, bandar terletak di kawasan paling barat China dan berada dalam peta Asia Tengah itu sudah menjadi hentian paling terkenal pedagang laluan sutera lama sejak ribuan tahun dahulu.

Ia menjadi hentian akhir pedagang dari Asia Timur mengumpul barang keperluan sebagai persediaan meredah laluan berliku pergunungan Pamir untuk ke Asia Tengah atau Eropah selain menjadi pintu masuk ke Asia Timur.

Tidak hairanlah, bandar itu menjadi rebutan serta sudah melalui sejarah peperangan dan penaklukan yang sangat panjang atas faktor lokasinya yang strategik dalam peta laluan sutera.

Kerajaan yang menakluk juga silih berganti seperti Dinasti Han, Mongol, Yuezhi, Gaochang, Khotan, Turkic Khaganate, Dinasti Tang, Empayar Tibetan, Uyghur Khaganate, Kara-Khanid Khanate, Dinasti Yuan, Dinasti Qing, Dzungar Khanate, Chagatay, Yarkent Khanatay, Republik Turkistan Timur dan Kashgaria sebelum akhirnya di perintah China bermula 1934.

Bukti fizikal ia menjadi perhentian perdagangan penting dapat dilihat menerusi kewujudan bazar - Central Asia International Grand Bazaar, berusia 2,000 tahun.

Bazar itu paling besar di Asia Tengah kerana lebih 5,000 gerai menjual pelbagai barangan seperti makanan basah atau kering, barangan kulit seperti jaket, beg serta kasut, perhiasan dan perkakasan diri atau rumah selain senjata dan alat muzik.

Pendek kata, ia nadi utama Kashgar sejak dulu hingga kini dan ‘syurga’ bagi yang ingin mencari barangan atau perhiasan unik.

Lantaran terpikat dengan beg tangan kulit di bazar itu, seorang ahli kembara kami membuang beg tangan lamanya.

Katanya, barangan kulit daripada haiwan berbulu gebu dan tebal seperti yang dibeli hanya boleh didapati di kawasan gurun dengan suhu sejuk menjadikan ia ‘barangan terhad’. Jika ada dijual di Malaysia atau tempat lain, biasanya adalah tiruan.

Berbeza di bazar itu, ia adalah asli dan harga jauh lebih murah.

Di sini, jika anda boleh berbahasa Mandarin, penawaran harga boleh menjadi lebih mudah. Tidak seperti penulis yang terpaksa tawar-menawar umpama ayam bercakap dengan itik.

Sudahnya, penulis ketawa berseorangan apabila lain yang diminta, lain barang yang dibawa keluar si penjual. Memang haru.

Selesai membeli dan ‘mengintai’ barangan, kami dibawa ke kota purba ‘Kashgar Old City’, juga berusia melebihi 2,000 tahun terletak 500 meter dari bazar.

Kota purba itu bukti kehebatan Kashgar sebagai kota perhentian perdagangan yang masyhur.

Uniknya, ia bukan kota tinggal sebaliknya masih dihuni etnik Uighur yang mewarisi daripada nenek moyang mereka lebih tujuh generasi.

Kota itu diperbuat daripada bata bersalut lumpur yang sudah dikeringkan seluas 4.24 kilometer (km) persegi.

Jika dari luar, gerbang kota yang kelihatan dari jauh dan menyambut kehadiran pelawat sudah menonjolkan kehebatan leluhur etnik Uighur, pengalaman berada di dalamnya menjadi satu bukti kehebatan mereka.

Jurupandu kami, Abdusami membawa kami berjalan kaki melalui lorong ‘rumah kedai’ bertingkat-tingkat yang menawarkan hasil pertukangan tangan diwarisi secara turun temurun.

Jika mengintai dari pintu kedai ini, pelancong boleh melihat penduduk tempatan menghasilkan barangan pertukangan dengan penggunaan peralatan moden yang minimum tapi bermutu tinggi.

Kehebatan etnik Uighur membangun kota purba itu dapat dilihat kepada pembahagian industri di dalamnya seperti bahagian pertukangan kayu, pertukangan logam, hiasan daripada permata, kawasan menjual barangan basah, makanan, herba dan kawasan memproses bata.

Semuanya tersusun kemas seolah-olah 2,000 tahun dulu, mereka membina kota itu berpandukan pelan atau cetakan biru.

Berjalan di kota purba yang masih ‘bernyawa’, penulis bersama 11 ahli kembara yang lain akhirnya berhenti di masjid paling besar di China iaitu Id Kah Mosque (Masjid Id Kah).

Masjid itu dikatakan dibina sekitar tahun 996 Masihi, iaitu hampir 300 tahun selepas penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad SAW di Tanah Arab pada kurun ke-7 Masihi.

Pada tahun 1442, pemerintah Kashgar, Sasqiz Mirza membinanya semula bagi membolehkan ia menampung sehingga 20,000 jemaah ekoran kedatangan ramai pedagang beragama Islam dari Tanah Arab dan Asia Tengah.

Di masjid ini ada satu dataran yang sudah ‘merakam’ banyak peristiwa berdarah berikutan ia dijadikan tempat bagi hukuman dijalankan lama dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:02 AM