W.A.R.I.S dapat idea hasilkan lagu  ketika isteri hamil 3 bulan.
W.A.R.I.S dapat idea hasilkan lagu ketika isteri hamil 3 bulan.
Syanty Octavia Amry


Gembira kini sudah menjadi bapa, penyanyi rap W.A.R.I.S, 27, mengakui kehidupannya berubah 360 darjah apabila tumpuan kini banyak diberikan kepada si kecil.

Anak sulungnya yang diberi nama Muddassir Muzzammil dan kini berusia dua bulan itu banyak mengajar W.A.R.I.S perkara baru.

Waktu tidurnya juga tidak menentu, namun melihat keletah si kecil rasa penat dan letih itu hilang. Maka, kopi juga kini menjadi minuman rutin W.A.R.I.S.

“Alhamdulillah kehidupan saya kini benar-benar berubah. Jika dulu berdua kini sudah bertiga. Tidak saya nafikan banyak perkara baru yang dipelajari. Memakaikan anak lampin pakai buang juga sudah menjadi rutin biasa untuk saya.

“Pada waktu sekarang banyak masa saya dihabiskan untuknya dan kopi kini menjadi teman setia,” katanya.

W.A.R.I.S atau nama sebenarnya Muzammil Alias berkahwin dengan Izzati Amirah Kamaruddin lebih setahun lalu.

Mengulas perkembangan kariernya, W.A.R.I.S bakal tampil dengan single berjudul Tepuk yang dihasilkan istimewa untuk anaknya itu.

“Idea menghasilkan lagu ini timbul ketika isteri hamil tiga bulan. Mungkin perasaan ingin bergelar bapa ketika itu sangat kuat menyebabkan saya terlintas untuk menghasilkan lagu buatnya.

“Mungkin juga lagu ini boleh digunakan oleh ibu bapa lain buat anak mereka,” katanya.

Selain itu, W.A.R.I.S juga gembira apabila hasratnya untuk mengusahakan perniagaan baju sekolah terlaksana.

Bekerjasama dengan penyanyi Juzzthin, baju sekolah yang diberi nama Waghih itu bakal dilancarkan dalam waktu terdekat ini.

“Alhamdulillah hasrat untuk berniaga terlaksana. Saya memilih mengeluarkan baju sekolah selepas mendapat pandangan daripada kawan.

“Sebagai permulaan baju ini akan dijual di sekitar Negeri Sembilan. Insya-Allah jika mendapat sambutan yang menggalakkan saya berharap dapat menjualnya di seluruh Malaysia.

“Baju ini siap dijahit dan dibawa masuk dari Bangladesh. Saya memilih Bangladesh kerana material kapas yang digunakan berkualiti dan harga juga berpatutan sesuai dengan harga yang akan saya jual di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:48 AM