PASUKAN bowling JPNP mempamerkan trofi dan hadiah dimenangi.
PASUKAN bowling JPNP mempamerkan trofi dan hadiah dimenangi.

Kuantan: Pasukan bowling Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) membuktikan kehebatan apabila mengungguli acara berpasukan dan individu VIP Kejohanan Bowling Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang berlangsung di IOI Mall Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Membariskan empat pemain dalam acara berpasukan iaitu Mat Junoh Yusof, Hingshamudin Ali, Nordin Ngah dan Sarifah Raudah Syed Ahmad, mereka mengumpul 2,532 jatuhan pin.

Dalam acara perseorangan VIP, pemain berpengalaman yang juga Timbalan Pengarah JPNP Datuk Mohamed Zin Yusop berjaya melakukan 584 jatuhan pin, menewaskan 12 pencabar lain.

Kejohanan yang menjadi acara tahunan JPSM itu disertai 20 pasukan Jabatan Perhutanan negeri Semenanjung dan dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah JPSM Datuk Borhanudin Arshad.

Mohamad Zin berkata, pengalaman luas pemain yang banyak menyertai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan menjadi kelebihan kepada pasukan JPNP untuk muncul juara pada kejohanan kali ini.

Katanya, gandingan pemain muda dan senior turut mencetuskan prestasi membanggakan dan diharap terus kekal pada saingan seterusnya yang lebih mencabar.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian acara berpasukan pada kejohanan kali ini apabila menewaskan pencabar terkuat, Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

“Prestasi terbaik dilakukan Mat Junoh yang berjaya melakukan 702 jatuhan pin diikuti Hingshamudin (666), Nordin (608) dan Sarifah Raudah (556),” katanya yang akan mengadakan lebih banyak kejohanan bowling di peringkat JPNP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:12 AM