PEMAIN bergambar selepas menyertai kejohanan bowling.
PEMAIN bergambar selepas menyertai kejohanan bowling.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Aksi konsisten menjadi kelebihan buat Hingsyamuddin Mat Ali untuk muncul juara kejohanan bowling tertutup Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang berlangsung di Mega Lanes Bowling Megamall, di sini, kelmarin.

Pada saingan tiga pusingan itu, Hingsyamuddin berjaya melakukan 536 jatuhan pin manakala Nordin Ngah yang menduduki tempat kedua mencatat 499 jatuhan pin diikuti Mat Junos Jusoh (495 pin).

Pertandingan pembuka tirai 2015 itu dianjurkan Persatuan Kebajikan dan Sukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (PEKSJAP) membabitkan penyertaan 86 pemain.

Hingsyamuddin berkata, pengalaman di peringkat negeri dan kebangsaan memberi kelebihan kepadanya untuk muncul juara menewaskan beberapa pemain yang tidak kurang hebat.

Katanya, kebanyakan pencabar pada kejohanan kali ini terdiri daripada rakan sepasukan yang sebelum ini membawa cabaran JPNP di peringkat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Katanya, kemunculan beberapa muka baru yang tidak kurang hebatnya memberikan cabaran kepada pemain senior pada kejohanan kali ini mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya tidak menyangka dapat meraih kejayaan pada kejohanan sulung ini terutama apabila di cabar sengit beberapa pemain senior yang berpengalaman.

“Kejayaan ini akan menjadi ukuran kepada saya untuk menyertai lebih banyak kejohanan bowling di peringkat daerah dan negeri selepas ini,” katanya yang bertugas di Pejabat Hutan Daerah Kuantan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah JPNP Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman.

Sementara itu, pengerusi penganjur kejohanan Liong Kang Hui berkata, sambutan pada pertandingan kali ini begitu menggalakkan terutama daripada kakitangan di peringkat daerah.

“Semua Pejabat Hutan Daerah di negeri ini menghantar wakil bagi memeriahkan lagi kejohanan yang antara lain bertujuan mengeratkan hubungan kakitangan JPNP di semua peringkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 10:05 AM