MOHAMED Khaled Nordin turut memberi penekanan pada penyelesaian isu air melalui Bajet 2017. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MOHAMED Khaled Nordin turut memberi penekanan pada penyelesaian isu air melalui Bajet 2017. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Iskandar Puteri: Kerajaan negeri memperuntukkan RM79.7 juta bagi menangani kemelut air di Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu adalah bagi menjayakan 14 inisiatif menyelesaikan isu berkenaan melalui langkah inovatif dan menyeluruh.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk penyelenggaraan kawasan tadahan Empangan Layang Hulu dan Empangan Layang Hilir, pemasangan sistem pemantauan kualiti air di Sungai Johor dan pelaksanaan pelan pengurusan kawasan tadahan air di Sungai Gembut, Kota Tinggi.

“Projek pemasangan paip dari Sungai Johor ke Empangan Layang turut dilaksanakan selain kerja pengupayaan di Loji Rawatan Air Gunung Pulai dan kajian pembinaan Empangan Pantai di muara Sungai Johor, Sungai Pulai dan Sungai Mersing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pembentangan Bajet 2017 bagi Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Kota Iskandar, hari ini.

“Semua inisiatif ini akan disokong beberapa inisiatif lain bagi memantapkan pengetahuan dan kepakaran mengenai pengurusan air termasuk menerusi penganjuran Johor Water Forum 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 11:52 AM