PENYUDAH Hakan (kanan) ditagih untuk benam Kosovo.
PENYUDAH Hakan (kanan) ditagih untuk benam Kosovo.
Agensi

Antalya: Turki akan kembali mengatur aksi pada kempen kelayakan Piala Dunia dengan menentang Kosovo di Antalya dan kemenangan itu satu-satunya yang diimpikan skuad kendalian Fatih Terim itu.

Kekalahan 0-2 di tangan Iceland sebelum ini bermakna Turki perlu bangkit dan pertemuan menentang Kosovo sepatutnya menjadi medan terbaik untuk mereka merapatkan kedudukan dengan pasukan kelompok atas.

Kosovo pasukan paling lemah dalam Kumpulan I dan berdasarkan kepada fakta yang menunjukkan mereka melepaskan 10 gol setakat ini, sudah tentu peluang Turki untuk menang terbuka luas.

Turki berada dalam kumpulan sukar yang turut menampilkan Iceland, Ukraine, Finland dan Croatia. Permulaan perlahan menyaksikan mereka mencatat dua seri dan satu tewas.

Secara realistik, jika anak buah Terim mahu beraksi di Russia pada 2018, mereka perlu mula mencatat kemenangan.

Ketika dua pasukan teratas Croatia dan Iceland bertemu di Zagreb, ruang antara kedua-dua pasukan itu pasti menjadi semakin menarik.

Selepas gagal melepasi peringkat kumpulan Euro 2016, Turki sudah mengalami perubahan tetapi kesebelasan utama tetap diisi pemain berbakat.

Hakan Calhanoglu dan Oguzhan Ozyakup masih lagi diharapkan untuk menghasilkan sesuatu buat pasukannya.

Arda Turan kembali menyarung jersi kebangsaan selepas persembahan meyakinkan bersama Barcelona tetapi Caner Erkin tidak disenaraikan.

Ketika hanya pasukan teratas yang sudah pasti layak ke Russia dan Turki ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, melangkah ke Piala Dunia menerusi play-off adalah satu-satunya pilihan yang tinggal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:08 AM