Reuters

Paris: Tewas di tangan Turki pada Euro 2008 dianggap kekalahan paling perit dialami pemain Croatia dan kali ini mereka bertekad memadam memori buruk itu apabila bertemu pada aksi pembukaan Kumpulan D malam ini.

Croatia sudah selangkah untuk mara ke separuh akhir lapan tahun lalu selepas mendahului 1-0 pada minit akhir masa tambahan dalam pertarungan epik suku akhir di Vienna. Bagaimanapun mereka dikecewakan apabila pintu gol dibolosi pada penghujung permainan sebelum tumpas menerusi penentuan sepakan penalti.

Croatia tidak pernah melangkah ke pusingan kalah mati kejohanan utama selepas itu dan pertahanan Vedran Corluka (gambar), antara pemain daripada skuad 2008 yang masih kekal, menganggap melepasi halangan sukar peringkat kumpulan lebih penting daripada misi membalas dendam.

“Ia pengalaman yang memeritkan apabila kalah perlawanan itu dan hanya boleh ditebus dengan memenangi Kejohanan Eropah,” kata pemain pertahanan tengah berusia 30 tahun itu.

“Detik itu sudah berlalu dan tidak menjadi fokus dalam persiapan kami. Kami boleh membuang memori itu jauh dari ingatan dan apa yang lebih penting, melakukan permulaan baik dengan mengalahkan mereka di Parc des Princes.”

Pemain tengah berpengaruh Luka Modric yang gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk Croatia dalam aksi penentuan 2008 berkata: “Saya menangis seperti bayi malam itu, ia pengalaman terburuk dalam karier.”

Turki gagal untuk layak beraksi di kejohanan utama sejak persembahan membanggakan dalam kempen Euro 2008 apabila tersingkir di pusingan play-off Kejohanan Eropah 2012 menerusi kekalahan agregat 0-3 kepada Croatia.

Jurulatih mereka Fatih Terim yang memimpin pasukan itu ke separuh akhir lapan tahun lalu mengakui kemenangan ke atas Croatia penting sebelum mereka berdepan juara bertahan Sepanyol dan Republik Czech.

“Memenangi perlawanan ini akan mencerahkan peluang kami ke pusingan kedua,” kata Terim.

“Saya percaya jika berusaha keras, kami boleh mara.”

Terim dijangka menurunkan barisan pemain yang mengalahkan Slovenia 1-0 pada aksi persahabatan Ahad lalu dengan penjaring gol Burak Yilmaz bakal mengetuai jentera serangan di depan pemain serba boleh Arda Turan serta pemain perancang berusi 22 tahun Hakan Calhanoglu.

Pemain tengah menyerang Croatia Ivan Rakitic menyatakan rakan sepasukannya di Barcelona Arda sebagai ancaman utama mereka.

“Dia pemain yang hebat dan boleh memberi peranan besar untuk Turki, jadi kami perlu mengawal pergerakannya jika tidak mahu gawang dibolosi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:05 AM