SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengaminkan doa dan tahli ringkas ke atas makam Almarhum Sultan Iskandar, di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, sempena Hari Hol. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengaminkan doa dan tahli ringkas ke atas makam Almarhum Sultan Iskandar, di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, sempena Hari Hol. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melawat Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini, sempena Hari Hol hari ini.

Baginda yang tiba jam 8.55 pagi itu disambut Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim; Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim; Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; wakil rakyat dan ahli-ahli parlimen selain pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan kerajaan, orang kenamaan dan Datuk Johor.

Sultan Ibrahim terlebih dahulu menyiram air mawar dan menabur bunga pada makam ayahandanya, Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Baginda kemudian menziarahi pusara anakandanya, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsudin mengiringi bacaan doa pada setiap pusara yang diziarahi.

Sultan Ibrahim meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melawat kubur semua ahli-ahli keluarga diraja Johor, termasuk dua nendanya, Sultan Ismail Sultan Ibrahim dan Sultanah Aminah Ungku Ahmad; moyang baginda, Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar dan Sultan Abu Bakar Temenggong Ibrahim.

Baginda dilihat turut mengesat air mata sebelum membaca doa di pusara anakandanya, Tunku Abdul Jalil.

Malam tadi, Sultan Ibrahim turut menghadiri majlis tahlil yang diadakan di Masjid Pasir Pelangi di sini, sempena Hari Hol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 11:41 AM