Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Lima lelaki menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya ditahan manakala 20 motosikal disita dalam Operasi Lalulintas oleh Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Bukit Aman, di beberapa jalan yang berakhir di Jalan Kubu, di sini, semalam.

Operasi bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam itu bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan yang mengambil kesempatan berlumba di hujung minggu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, 254 individu diperiksa dan 101 saman dikeluarkan dalam operasi terbabit.

Beliau berkata, operasi selama lapan jam itu melibatkan seramai seorang pegawai, enam anggota trafik Melaka Tengah, lapan anggota trafik Bukit Aman, seorang pegawai dan 19 anggota Sukarelawan Polis diRaja Malaysia (SPDRM).

Mohd Kamal berkata, lima lelaki ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semua lelaki berusia 18 hingga 23 tahun ditahan kerana menungang secara melulu dan berbahaya hingga ada yang merempuh dua anggota SPDRM namun tidak ada kecederaan serius,” katanya.

Pelbagai kesalahan dikesan seperti cukai jalan tamat tempoh, tidak memiliki lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lampu brek, pengubahsuaian motosikal, tiada cermin sisi, tidak mempamerkan lesen L/P dan tiada perlindungan insuran.

Dalam pada itu, Mohd Kamal memberitahu, sebanyak 15 waran tangkap berjaya diselesaikan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 12:18 PM
Penunggang motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan. FOTO Rasul Azli Samad
Penunggang motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan. FOTO Rasul Azli Samad