MESSI (kanan) jadi ancaman gawang City.
MESSI (kanan) jadi ancaman gawang City.
AGUERO (kanan) taruhan serangan Citizen.
AGUERO (kanan) taruhan serangan Citizen.
Reuters

Barcelona: Taktik hebat Pep Guardiola sepanjang bergelar pengurus akan sekali lagi diuji apabila skuad kendaliannya, Manchester City bakal menentang bekas kelab kendaliannya, Barcelona pada pertembungan Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Guardiola yang juga bekas kapten kelab Catalan itu adalah jurulatih yang paling berjaya selepas memenangi 14 gelaran dalam tempoh empat tahun dan kepulangannya ke Nou Camp pagi esok pasti menjadi sesuatu yang sangat emosi buatnya.

Beliau pernah bertandang ke Nou Camp ketika mengendalikan Bayern Munich dan tewas 3-0 di separuh akhir Liga Juara-Juara tahun lalu dan kali ini, perjalanannya juga dilihat tidak jauh berbeza dengan City.

Permulaan cemerlang Guardiola di England menyaksikan beliau menang 10 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan tetapi kini anak buahnya mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan dan kali terakhir, mereka terlepas dua penalti ketika seri 1-1 dengan Everton, Sabtu lalu.

Pendahulu Liga Perdana itu ketinggalan dua mata di belakang Barca yang mendahului Kumpulan C selepas seri 3-3 dengan Celtic sebelum ini tetapi Guardiola berkata beliau tidak mahu melihat sebarang keputusan seri menentang bekas kelabnya itu.

“Kami mempunyai baki empat perlawanan dan kami perlu menang dua daripadanya, mengumpul enam mata, layak ke pusingan seterusnya. Dan kami akan cuba memperoleh tiga mata pertama pada perlawanan ini,” kata Guardiola.

Kelab Catalan itu tidak pernah tewas di Nou Camp pada aksi Liga Juara-Juara sejak 2013 tetapi Guardiola yang terkenal dengan taktik menyerang itu berkata pasukannya tidak terikat untuk mengekalkan corak serupa.

“Biasanya kami akan bermain seperti biasa. Saya tahu taktik yang akan kami amalkan tetapi kami juga perlu tahu kekuatan pasukan lawan yang akan kami hadapi. Tidak banyak pasukan yang menang di situ sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Barcelona menduduki tangga keempat La Liga dan menang 4-0 ke atas Deportivo La Coruna, Sabtu lalu dengan pemain gantian Lionel Messi menjaringkan gol sebaik sembuh daripada kecederaan pangkal paha yang menyaksikan dia tidak bermain selama tiga minggu.

“Sukar menghalang pergerakannya, saya bercakap berdasarkan pengalaman,” kata penyerang City Sergio Aguero yang bersama Messi di dalam skuad kebangsaan Argentina.

“Apa yang boleh kami harapkan ialah supaya dia tidak dapat bermain baik sambil pertahanan kami cemerlang. Sukar untuk mengekangnya kerana Leo adalah pemain terbaik dunia.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 6:28 AM