Oleh Norasikin Daineh

‎

Tawau: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menempatkan skuadron pesawat pejuang Hawk di Pangkalan Udara Labuan€Ž sejak 7 November lalu bagi mempertingkatkan tahap keselamatan terutamanya di kawasan Pantai Timur negeri ini.

Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, penempatan itu adalah bagi melaksanakan operasi pemantauan ruang udara di kawasan sekitar Sabah dan Sarawak.

"Skuadron ini terdiri daripada enam pesawat pejuang Hawk dan kehadirannya juga akan dilibatkan secara langsung dalam perlaksanaan misi atau operasi udarah di Wilayah Udara 2 khususnya dalam memastikan keselamatan di negeri ini.

"Namun, jumlah kehadiran pesawat pejuang Hawk di Pangkalan Udara Labuan ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa secara berperingkat," katanya selepas melakukan lawatan kerja dan demonstrasi pesawat pejuang Hawk di Lapangan Terbang Tawau di sini, hari ini.

Menurut Affendi, dalam masa yang sama operasi udara TUDM di dua negeri ini juga turut dipertingkatkan dan diperkuatkan menerusi aset yang ada.

"Ini termasuk pesawat B200T Maritime Surveillance, pesawat angkut C130, pesawat tangki KC130 dan helikopter Nuri serta EC725.

"Ini bagi memastikan keupayaan elemen TUDM sentiasa berada ditahap yang optimum,"€Ž katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 2:21 PM