MAHU berjaya dalam karier seni terutama lakonan biarpun sedar persaingan sengit.
MAHU berjaya dalam karier seni terutama lakonan biarpun sedar persaingan sengit.
Norhayati Nordin

Kalau sudah ada bakat dan mengalir pula darah seni dalam badan, pasti minat yang membara takkan pernah pudar. Itulah yang boleh dikaitkan dengan kegigihan dua bintang muda ini, Tash Yong, 25, dan Fatin Afeefa, 23.

Biarpun Tash atau Nur Natasha Shazlia Rosli masih solo manakala Fatin Afeefa Shamsudin berstatus isteri dan ibu, impian mereka tetap sama.

Mereka mahu berjaya dalam karier seni diceburi terutama bidang lakonan biarpun menyedari persaingan sesama pelakon sengit.

Tash yang juga anak sulung komposer Rosli Selasih berkata, dia sangat bersyukur bakat lakonannya makin mendapat perhatian.

Mula berlakon pada 2013 menerusi telefilem Kerana Anggun arahan Aziz M Osman, gadis kelahiran ibu kota ini tidak pernah jemu berusaha.

“Walaupun tiga tahun lalu saya masih menapak tetapi nampaknya sekarang apa yang diusahakan makin membuahkan hasil.

“Jika sebelum ini saya sekadar mendapat peluang sebagai pelakon tambahan, kini sudah berubah kepada watak pembantu.

“Secara tidak langsung, boleh dilihat wujud peningkatan dalam perjalanan karier lakonan saya selepas beberapa tahun,“ katanya yang turut membintangi Masam Manis (TV3), Hantu Punya Bos (TV3), DIA (TV3) dan Awak Sangat Nakal (Astro).

Bakat lakonan Tash menyerlah dalam drama Menantu Ting Tong arahan Nazir Jamaluddin yang disiarkan TV3 baru-baru ini.

Drama 20 episod terbitan Enuja Production Sdn Bhd membariskan pelakon Ruhainies, Azrel Ismail, Ben Amir, Aleeza Shadan dan Amyza Adnan.

Tash memegang watak Fatiha, ibu tunggal dan dilihat amat berkesan apabila wajahnya juga tidak disolek.

Katanya, dia perlu peka dengan Fatiha yang digambarkan sebagai wanita kampung dan janda. Dengan kehidupan sederhana bersama bekas keluarga mentua, Fatiha tidak perlu tampil cantik dan bergaya.

“Bagi saya watak dijayakan perlu mengikut realiti. Melalui perbincangan bersama pengarah, saya bersetuju supaya wajahkurang dimekapkan jurusolek,” katanya.

Namun, Tash akur apabila ada yang mempersoalkan penampilannya bertudung dalam drama itu. Dia belum berhijab tetapi sebagai Fatiha dalam drama Menantu Ting Tong itu dia memakai tudung.

“Saya yakin apabila sampai masanya nanti, pasti saya akan berhijab juga. Sama-samalah doakan yang terbaik buat saya,” katanya.

Mengakui tidak tersinggung dengan kritrikan diterima, Tash berkata dia manusia biasa yang tidak sempurna.

Fatin ‘menyepi’ 3 tahun

Memilih berkahwin pada usia muda iaitu 20 tahun, Fatin menganggap seruan untuk jodohnya lebih awal.

Mendirikan rumah tangga bersama pelakon Adam Shahz, 34, pada 21 Disember 2013, pasangan itu dikurniakan dua anak, Adam Aisy Arrian, 3, dan Ivy Arrasophia, setahun empat bulan.

Fatin berkata, suaminya tidak pernah menghalang dia aktif dalam lakonan cuma ketika itu rezeki mereka memperoleh anak awal.

“Selepas melahirkan anak sulung, saya rasa lebih baik berhenti berlakon seketika dan memberi tumpuan kepada keluarga.

“Sebagai ibu muda yang tiada pengalaman, sukar untuk saya berjauhan dengan anak yang masih kecil. Jadi, adalah wajar jika saya berhenti berlakon seketika dan memberi tumpuan pada urusan penjagaan anak,” katanya.

Kata Fatin, minat pada lakonan tidak pernah pudar cuma ketika itu sukar untuk dia memberi komitmen pada karier.

“Apa pun, kini saya mula aktif berlakon semula selepas memiliki anak kedua kerana sudah tahu menguruskan mereka.

“Adam juga memberi izin untuk saya aktif berlakon semula memandangkan urusan penjagaan anak semakin teratur,” katanya.

Pernah membintangi filem Tentang Bulan pada 2006, Fatin kini berlakon filem Kampung Drift, Volkswagen Kuning dan Hospital. Dia juga berlakon di sisi suaminya dalam telefilem Playboy Kantoi.

Mengenai kerjasama dengan suami, Fatin akui seronok berlakon dengan Adam tetapi sukar untuknya mengelak perasaan cemburu.

“Dalam Playboy Kantoi, saya melakonkan watak pembantu sebagai pengurus artis. Adam pula berlakon sebagai hero dan dia juga kaki perempuan.

“Terus-terang, sebagai isteri walau macam mana saya cuba bersikap profesional atas dasar kerja pun tetap tidak boleh elak perasaan cemburu.

“Lebih-lebih lagi apabila melihat Adam melakonkan babak mesra dengan pelakon wanita lain. Ia menguji kesabaran dan ketenangan jiwa,” katanya.

Apa pun, Fatin gembira dapat melaksanakan komitmennya dengan baik sepanjang penggambaran telefilem Playboy Kantoi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:03 AM