MAGENTA
MAGENTA
Nor Hanisah Kamaruzaman

Minat terhadap bidang muzik mendorong kumpulan anak muda ini mencuba nasib dan mengorak langkah ke industri seni arus perdana.

Band diberi nama Magenta itu diketuai Mohamad Khairil Zubaidy Abu Hassan, 24, yang juga pemain gitar utama serta komposer.

Kumpulan berkenaan turut dianggotai Muhammad Fadhli As’at, 24, (bass) , Muhammad Firdaus Wahid, 24, (pemain gitar irama) dan Ariefatul Tahirah Md Sirat, 23, (vokalis).

Menurut Mohamad Khairil Zubaidy atau lebih dikenali dengan nama Eddie, bermula dengan hobi mereka berani mencari peluang dalam arena seni tempatan bagi mengetengahkan hasil karya kepada orang ramai.

“Kami mulanya bermain muzik dan menyanyi hanya untuk isi masa lapang.

“Bagaimanapun, sejak berjinak-jinak dengan industri seni baru kami sedar rupanya peminat seni terutama muzik arus perdana sangat ramai.

“Dengan bakat yang ada ini kami pilih untuk ketengahkan di tempat yang lebih berpotensi supaya muzik kami lebih dihargai,” katanya.

Mengetengahkan genre pop rock, ahli band Magenta percaya tiada jalan pintas untuk berjaya dan sebagai artis baru mereka perlu berusaha keras.

“Sebelum ini kami pernah bermain muzik namun lebih kepala genre alternatif seperti metal dan kami tubuhkan band indie.

“Namun selepas yakin dengan percaya dengan bakat yang ada, kami teruskan niat untuk perkenalkan bakat di arena muzik tanah air dan hasilkan lagu bergenre arus perdana seperti pop rock,” katanya.

Menurut Ariefatul Tahirah, antara kekuatan band Magenta adalah keserasian satu sama lain yang secara tidak langsung melahirkan suasana positif dan produktif sepanjang masa.

“Setiap daripada kami mempunyai bakat dan kepakaran masing-masing.

“Apabila duduk dalam satu kumpulan, kami memang serasi dan keserasian itu yang saya percaya faktor kekuatan Magenta kerana dari situ dapat berikan yang terbaik,” katanya.

Band Magenta turut menasihati generasi Y supaya sabar dan yakin untuk menceburi apa jua bidang seni yang diminati.

“Jangan ragu untuk ketengahkan bakat yang ada dan yang penting jangan risau atau gentar sekiranya dikritik atau dihentam.

“Industri seni ibarat pertaruhan, perlu berani ambil risiko dan banyak tampilkan diri dengan buat persembahan untuk lebih dikenali,” katanya.

Band Magenta sudah menghasilkan sebuah lagu bertajuk ‘Sayang’. Single pertama itu kini dalam proses rakaman dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

INFO

• Instagram: @magenta.official

• FB: Magenta Band

• Vokalis: Ariefatul Tahirah Md Sirat - @tahirahsrt

• Pemain gitar utama: Mohamad Khairil Zubaidy Abu Hassan - @eddiehssn

• Pemain bass: Muhammad Fadhli As’at - @fadhliasat

• Pemain gitar irama: Muhammad Firdaus Wahid - @dauswahid

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 12:19 PM