Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.50 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM10.16 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 10.8 peratus berbanding dengan RM9.17 bilion yang dibayar pada 2013.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 8.6 juta pemegang unit yang melanggan 137.07 bilion unit ASB.

Katanya, peruntukkan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM804.43 juta, iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding dengan RM675.93 juta yang dibayar pada 2013.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus bagi tabung ASB akan dikreditkan secara automatik ke akaun pemegang unit.

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB masing-masing di ibu pejabat dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 11:53 AM