PENGERUSI Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Dr Zeti Aziz (kiri) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn ketika mengumumkan pengagihan pendapatan dana unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) di Menara PNB, Kuala Lumpur.
PENGERUSI Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Dr Zeti Aziz (kiri) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn ketika mengumumkan pengagihan pendapatan dana unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) di Menara PNB, Kuala Lumpur.

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah agihan pendapatan 4.25 sen seunit untuk dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta pembayaran khas Ehsan 0.75 sen seunit untuk 30,000 unit pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.

Pengumuman dibuat Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz menerusi sidang media secara maya, semalam.

"ASB mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit iaitu pengagihan pendapatan 3.50 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit.

"Sebagai tambahan semua pemegang unit ASB akan menerima pembayaran ehsan sempena Ulang Tahun ASB ke-30 sebanyak 0.75 sen seunit untuk 30,000 unit pertama mereka," katanya.

Dengan pengumuman itu, agihan pendapatan ASNB tahun ini pulangan terendah dalam sejarah berbanding tahun lalu iaitu 5 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

Dr Zeti berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada ekonomi dan pasaran kewangan sedunia.

"Hampir semua negara mencatat penguncupan ekonomi dan ekuiti global jatuh 25 peratus awal tahun ni sebelum beransur pulih akhir-akhir ini, ini memberi tekanan kewangan dan pelaburan, PNB tidak terkecuali," katanya.

Menurutnya, dalam persekitaran ekonomi makro mencabar dan pasaran kewangan tidak menentu pada 2020, ASNB mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus berjumlah RM7.6 bilion untuk 10.2 juta pemegang unit.

"Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana sepanjang 30 tahun sejak mula diperkenalkan pada 1990 adalah RM159.6 bilion.

Menurutnya, di sebalik pasaran kewangan tidak stabil, ASB terus memberi pengagihan kompetitif sebanyak 4.25 sen seunit.

"Prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain.

"ASB terus menjadi pilihan tepat bagi individu yang mempunyai profil risiko rendah dan melabur untuk jangka panjang," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, strategi kepelbagaian portfolio ASB terus mencatatkan kemajuan pada 2020 dengan peningkatan pendedahan kepada ekuiti antarabangsa, ekuiti persendirian, hartanah dan pendapatan tetap.

"Pelaburan dalam aset antarabangsa meningkat kepada 5.9 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2019.

"Dalam suasana turun naik pasaran global, strategi ini mula membuahkan hasil yang positif dengan bahagian sumbangan pendapatan kasar dari ekuiti awam antarabangsa meningkat dari 6.3 peratus pada 2019 kepada 24.2 peratus pada 2020," katanya.

Menurutnya, pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus ASB adalah berdasarkan baki purata minimum bulanan yang dimiliki sepanjang tahun kewangan.

"Unit yang dilaburkan semula dari pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2021.

"Urus niaga ASB ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 Disember lalu hingga 3 Januari depan bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan dan pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui www.myasnb.com.my atau aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana pejabat cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 4 Januari depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:40 AM