ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran. FOTO Aizat Sharif
ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran. FOTO Aizat Sharif
Oleh Aizat Sharif


Arau: Tiga buah kedai termasuk dua kedai menjual basikal musnah dijilat api dalam satu kebakaran awal pagi ini.

Kebakaran yang berlaku pada jam 5.20 pagi di Jalan Tuanku Syed Sirajuddin, disini turut memusnahkan sebuah kedai runcit yang sudah beroperasi hampir 40 tahun di lot kedai itu.

Menurut Ketua Operasi Bomba Perlis Mohd Firdaus tiga buah jentera bomba bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.20 pagi itu.

"Anggota bomba tiba di tempat kejadian berjaya mengawal kebakaran tujuh minit kemudian dan turut sama berjaya menyelamatkan seekor anjing peliharaan milik salah seorang pemilik premis itu," katanya kepada Harian Metro.

Beliau menambah operasi pemadaman turut dibantu oleh tiga jentera bomba sukarela dari Balai Bomba Sukarela Pauh, Padang Sera dan Kodiang.

"Api merebak dengan cepat serta memusnahkan keseluruhan tiga lot kedai itu disebabkan terdapat barangan mudah terbakar dalam salah satu kedai itu," katanya lagi.

Pemilik premis yang musnah itu sudah pun dimaklumkan manakala punca dan taksiran kerugian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 9:03 AM